Selasa, 26 November 2019

Sentuhan Faiz terlalu awal pikat Kim Swee


 Jumaat, 26 Februari 2016 | 3:38pm
Sentuhan Faiz terlalu awal pikat Kim Swee
Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@bh.com.my
PEMAIN Kuantan FA, Liuba Baranin mengasak pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. - Foto Rosli Ahmad
KUALA LUMPUR: Selepas dua minggu Liga Malaysia (Liga M) membuka tirai, ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata hanya ada beberapa muka baharu yang menarik perhatiannya, termasuk Faiz Subri dari Pulau Pinang.
                             
Kim Swee mengakui jaringan sepakan percuma Faiz Subri dalam aksi Liga Super menentang Pahang memang menakjubkan, tetapi ia masih belum mencukupi untuk menjamin tempat pemain itu dalam skuad kebangsaan.

Kim Swee hanya mendapat skuad penuh pada 20 Mac ini dan mempunyai tiga hari saja bagi mempersiapkan pasukan menghadapi Arab Saudi untuk perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah pada 24 Mac.

Berdasarkan tempoh singkat itu, keutamaan diberikan kepada pemain yang sudah mempunyai pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, termasuk pengalaman dimiliki bekas pemain Harimau Muda kendaliannya.

Ditanya berkenaan jaringan Faiz yang dianggap antara yang terbaik di dunia Kim Swee berkata, dia kagum dengan kemahiran sepakan Faiz tetapi kriteria utama yang menjadi ukuran dalam pemilihan kali ini ialah kemampuan seseorang itu bekerja dalam satu pasukan.

"Saya tidak nafikan gol itu luar biasa dan menakjubkan, kehadirannya dalam pasukan sudah tentu sesuatu yang baik," kata Kim Swee. "Tetapi saya lebih memerlukan seorang pemain yang boleh menjadi penggerak kepada pasukan.

"Jadi saya perlu menilai Faiz serta beberapa pemain lain dalam beberapa perlawanan lagi sebelum dapat mengesahkan sama ada mereka layak untuk disenaraikan atau tidak.

"Buat masa ini saya sudah ada senarai awal dan beberapa muka baru menarik perhatian saya, tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan ini pilihan terbaik saya. Saya harap baki beberapa perlawanan sebelum rehat perlawanan antarabangsa ini, pemain-pemain akan terus berusaha menunjukkan prestasi terbaik mereka."

Bagi Kim Swee, Liga Malaysia kali ini lebih menarik dan meriah dengan setiap pasukan dilihat cuba memberi saingan terbaik pada setiap perlawanan.

"Liga kita tahun ini lebih rancak dan intensif, ia petanda yang cukup baik untuk bola sepak negara. Cuma saya harap apabila pemain yang terpilih dipanggil untuk latihan skuad kebangsaan, mereka berada pada tahap kecergasan terbaik dan tiada kecederaan," katanya.

Antara kerisauan Kim Swee ialah barisan penyerang tempatan yang akan memikul tugas di Arab Saudi nanti memandangkan hampir semua pasukan meletakkan pemain import sebagai tonggak utama di barisan depan.

"Antara penyerang tempatan yang menyerlah sekarang ialah Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Hazwan (Bakri), tetapi kedua-duanya lebih banyak membantu dari bahagian sayap.

"Safee (Sali) pula jarang beraksi dan Amri (Yahyah) pula tidak diturunkan sepenuh masa. Jadi saya harap penyerang tempatan lebih gigih bersaing untuk posisi sebagai penyerang utama.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/node/128244

Tiada ulasan:

Catat Ulasan