26 Disember 2016 5:26 PM
MOHD. FAIZ SUBRI
KUALA LUMPUR 26 Dis. Gol
menarik Mohd. Faiz Subri yang dimuat naik di YouTube oleh FIFATV kini mencecah
lebih dua juta tontonan.
Setakat 12.30 tengah hari ini,
video tersebut yang dimuat naik pada 21 November lepas terus mencuri tumpuan
peminat bola sepak dunia apabila ditonton 2,161,006 pelayar Internet.
Bercakap kepada Bernama, pemain
Pulau Pinang yang tercalon dalam senarai tiga terakhir untuk Anugerah Puskas
FIFA itu berharap terus mendapat sokongan peminat bola sepak untuk mencipta
sejarah sebagai pemain dari benua Asia pertama merangkul anugerah itu.
Dua pemain lain ialah Jonath
Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Danisuka
Rodriguez dari Venezuela.
Gol jaringan Marlone yang
dimuat naik oleh FIFATV itu ditonton sebanyak 1,361,047 pelayar manakala
Danisuka (1,061,741), setakat tengah hari tadi.
Bagaimanapun Mohd. Faiz, anak
jati Ayer Hitam, Kedah itu berpendapat, semua calon akhir untuk anugerah itu
masih mempunyai peluang sama rata untuk meraih anugerah berkenaan.
"Sekarang ini terpulang
kepada undian, siapa yang dapat undian tertinggi akan menang anugerah
itu," kata Mohd. Faiz.
Peminat bola sepak tempatan
masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA,
www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di
Zurich, Switzerland pada 9 Jan depan.
Anugerah Puskas dinamakan
sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran
Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.
Sejak diperkenalkan pada 2009,
anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi
bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan
Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.
Rakyat Malaysia boleh mengundi
Mohd. Faiz melalui pautan Puskas di sini. - BERNAMA
Sumber-- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/video-gol-cantik-mohd-faiz-ditonton-2-juta-penonton-1.424667#sthash.zqZR777R.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan