MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 01
Disember 2016 12:10 AM
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Peluang
penyerang Mohd. Faiz Subri untuk sekurang-kurangnya berada dalam senarai akhir
calon pemenang Anuegerah Puskas FIFA 2016 semakin cerah berdasarkan sambutan
peminat bola sepak seluruh dunia.
MOHD. FAIZ SUBRI mendahului
persaingan untuk Anugerah Puskas berdasarkan jumlah tontonan video jaringannya
di YouTube.
Meskipun kedudukan undian tidak
dipaparkan kepada umum, video pencalonan pemain Pulau Pinang itu dalam laman
media YouTube oleh FIFATV hingga pukul 6 petang hari ini menunjukkan jaringan
pemain itu menarik minat 1.3 juta penonton sekali gus mendahului sembilan
pemain lain dalam senarai awal pencalonan untuk jaringan tercantik tahunan itu.
Jika jumlah itu diambil kira
maka peluang untuk pemain kelahiran Kedah itu berada dalam senarai tiga calon
akhir yang akan diundang ke majlis Balon d’Or Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (FIFA) pada awal tahun depan sangat cerah.
Pengumuman pemenang Anugerah
Puskas akan diumumkan di Zurich, Switzerland pada 9 Januari 2017, bersama-sama
pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia Tahunan (Anugerah Balon d’Or) lelaki
dan wanita.
“Boleh dikatakan satu mimpi
kerana saya tidak pernah mengimpikan kejayaan seperti ini. Saya sebenarnya
berdebar menanti keputusan undian dan jika berjaya menempatkan diri dalam tiga
calon terbaik, pastinya ini satu pengalaman paling indah dalam hidup saya.
“Pertama kali kalau ke sana
(Zurich), saya mahu jumpa (Christiano) Ronaldo. Saya memang meminatinya sejak
dia bersama Manchester United dan kini Real Madrid. Dia pemain terbaik dunia
dan mempunyai keunikan dalam melakukan sepakan bebas,” katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia hari ini.
Pemain kebangsaan Portugal,
Ronaldo akan turut berada dalam majlis itu setelah tersenarai bagi anugerah
Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016.
Bilangan tontonan itu ketika
ini menyaksikan Mohd. Faiz meninggalkan jauh sembilan calon lain termasuk dua
bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar di mana video sepakannya disaksikan
1,305,065 kali, peningkatan sebanyak 35,236 berbanding semalam.
Jaringan pemain Corinthian dari
Brazil, Marlone kekal di tempat kedua dengan ditonton 885,572 kali sementara
Messi di tempat ketiga dengan 879,423.
Calon lain adalah Mario Gaspar
(Villareal/Sepanyol), Hlompho Kekana (Mamelodi Sundowns/Afrika Selatan), Saul
Niguez (Atletico Madrid/Sepanyol), Hal Robson-Kanu (Wales), Simon Skrabb
(Gefle IF/Finland) dan satu-satunya calon wanita Daniuska Rodriguez
(Venezuela).
Mohd. Faiz, 29, yakin
jaringannya itu mampu untuk sekurang-kurangnya melangkah ke pusingan akhir
anugerah Puskas 2016.
“Insya-Allah jika ada rezeki
boleh tersenarai dalam tiga jaringan terbaik. Tapi bagi saya untuk berada
dalam senarai 10 terbaik sudah satu kejayaan. Saya berterima kasih kepada semua
yang menyokong dan mengundi,” katanya.
Peminat bola sepak tanah air
boleh mengundi gol jaringan Mohd. Faiz melalui laman web
www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ untuk tersenarai dalam
tiga pencalonan terbaik anugerah tersebut sebelum tarikh tutup undian pada
Jumaat ini.
sumber- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/peluang-faiz-8232-ke-zurich-cerah-1.414389#sthash.7BZeaYF7.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan