Ahad, 4 Disember 2016

‘Jaringan Faiz bukan nasib’


 

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
AZMIN anggap peluang Faiz menang anugerah Puskas FIFA 2016 cerah.

JARINGAN luar biasa yang dihasilkan pemain tengah Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri mampu mencipta kejutan dengan memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Menurut bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz, kejayaan Faiz menempatkan diri sebagai tiga calon akhir bagi merebut anugerah berprestij itu merupakan satu kejayaan yang sa­ngat membanggakan bagi seluruh peminat sukan bola sepak tanah air.

“Beliau memang layak untuk memenangi anugerah ini kerana jaringannya sangat ajaib. Mana-mana penjaga gol terbaik dunia sekali pun pasti sukar untuk menyelamatkan bola tersebut.

“Saya berharap Faiz dapat me­menangi anugerah ini kerana de­ngan kejayaan ini akan membuka mata dunia bahawa Malaysia mempunyai pemain-pemain berbakat,” kata Azmin ketika ditemui di Putrajaya semalam.

Terdahulu, beliau hadir bagi memberi sokongan kepada peserta Kejohanan Futsal dan Bola Ja­ring Piala Pengerusi Felcra Bhd., Datuk Seri Bung Mokhtar Radin di Gelanggang Futsal Mokhtar Dahari, Putrajaya.

Mengulas lanjut, Azmin Azram yang juga jurulatih penjaga gol skuad Felcra menolak komen negatif sesetengah pihak bahawa jaringan cantik itu sebagai nasib semata-mata, sebaliknya men­jelas­kan, jaringan ajaib itu terha­sil melalui teknik tendangan dan kelajuan yang tepat hasil latihan keras setiap hari.

Sementara itu, jurulatih Felcra, Yusri Che Lah berharap jaringan cantik Faiz mampu menobatkannya sebagai pemenang Anugerah Puskas tahun ini.

Yusri berkata, Faiz memang layak untuk meraih gelaran pe­menang kerana sepanjang me­latih pemain tersebut sebelum ini, beliau memang terkenal sebagai pemain yang mempunyai komitmen dan disiplin yang tinggi.

“Tahniah kepada beliau kerana melayakkan diri sehingga ke pe­ringkat ini. Bagi saya, beliau bukan sekadar patut berada dalam kelompok tiga terbaik tetapi pulang sebagai pemenang utama.

“Jaringan Faiz bukan nasib se­mata-mata. Sepanjang berada di bawah kendalian saya pada tahun 2009, beliau memang dikenali sebagai seorang pemain yang sentiasa berusaha keras dan berbakat,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4RvNUH88M Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan