23 DISEMBER 2016
Faiz Subri Faiz Subri
DEBARAN Anugerah Bola Sepak
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 yang menyaksikan jaringan ajaib Mohd Faiz Subri
tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah Puskas, sudah mula dirasai seluruh
rakyat Malaysia.
Berbaki 17 hari sebelum
anugerah yang dijadual berlangsung pada 9 Januari depan, gol yang disifatkan
'melanggar hukum fizik' jaringan penyerang Pulau Pinang itu terus mendapat
perhatian dan sokongan warga netizen di media sosial.
Rata-rata netizen tidak putus
meluahkan rasa bangga dan berharap anugerah tersebut menjadi milik beliau
sekali gus mencipta sejarah menjadi warga Asia pertama memenangi anugerah
tersebut.
Seorang pengguna aplikasi
Twitter, @RichmanHazim berkata, "Tinggal 3 minggu sebelum Anugerah Fifa
2016, tak sabar nak melihat gol Faiz Subri diumumkan sebagai juara. Sangat
bangga!".
"Faiz Subri adalah
kebanggaan Malaysia, marilah kita beramai-ramai mendoakan kejayaan beliau di
anugerah Fifa 2016 nanti" demikian kata Siti Norasah Ahmad dalam entri
akaun Facebooknya.
Rata-rata netizen juga mengajak
seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengundi Mohd Faiz bagi membolehkan beliau
meraih anugerah tersebut.
Seorang lagi pengguna aplikasi
Twitter, @dayangsuhana_ berkata, "There are three finalists and Faiz Subri
is one of them. Come on Malaysian, do something for your country!".
Sementara itu, Jeff Pittz dalam
entri akaun Facebooknya berkata "Hurry!, Just a few more days to
couting...let's vote for that great goal by our hero, Faiz Subri".
"C'mon guys! undi saudara
Faiz Subri ni. Saya nak tengok beliau dengan bangganya cakap melayu di pentas
antarabangsa," demikian tweet @Ghazikhayat.
Gol ajaib Mohd Faiz itu bukan
sahaja menarik perhatian peminat bola sepak tempatan, malah turut membuka mata
peminat bola sepak seluruh dunia, ia dibuktikan apabila video gol pencalonan
tersebut di laman YouTube terus mendahului dua pesaing utamanya.
Setakat 2.30 petang ini, video
tersebut yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV pada 21 November lepas terus
mencuri tumpuan apabila ditonton 2,137,908 pelayar seluruh dunia.
Jumlah tersebut jauh
meninggalkan dua pesaing utama yang bersaing untuk anugerah berkenaan iaitu
Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1,351,227 tontonan) dan wakil
tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (1,053,840 tontonan).
Anugerah Puskas dinamakan
sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran
Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.
Sejak pertama kali
diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik
sepanjang tahun telah dimenangi beberapa bintang dunia antaranya Cristiano
Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.
Peminat bola sepak tempatan masih
berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi Fifa,
www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak Fifa di
Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23
DISEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan