Khamis, 1 Disember 2016

Faiz mahu jumpa Ronaldo

 Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Pemain Pulau Pinang, Faiz Subri (gambar) ingin bertemu bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo andai dia berjaya berada dalam senarai tiga calon akhir bagi merebut anugerah jaringan tercantik Puskas 2016.

Faiz, 29, kini menanti penuh debar keputusan undian Jumaat ini mengenai jaringan golnya yang bersaing dengan sembilan lagi pencabar dari seluruh dunia termasuk bintang Barcelona Lionel Messi dan Neymar.


Jika berjaya berada dalam senarai tiga gol terbaik, dia akan dijemput untuk menghadiri majlis gilang-gemilang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Zurich, Switzerland bagi keputusan akhir pemenang anugerah Puskas pada 9 Januari.

Faiz yang dilihat mempunyai peluang untuk memenangi anugerah itu berdasarkan sambutan peminat bola sepak seluruh dunia boleh bertemu dengan pemain idolanya Ronaldo pada majlis itu kerana pemain kebangsaan Portugal itu tersenarai bagi anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016.

“Kalau ada rezeki saya ke sana (Zurich) saya nak jumpa Ronaldo. Saya memang meminatinya sejak dia mencipta nama bersama Manchester United dan kini Real Madrid.

“Saya suka melihat cara permainannya dan saya juga banyak belajar mengenai cara sepakan percumanya. Saya tak pernah bertemu dengan Ronaldo sebelum ini memang kalau ada peluang saya tak akan lepaskan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Faiz mencipta sejarah baharu bola sepak tanah air apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu berjaya dicalonkan dalam anugerah Puskas tahun ini.

Gol pada minit ke-62 itu yang dikatakan ‘melanggar hukum fizik’ berjaya mencuri perhatian serata dunia selepas menjadi viral di laman sosial.

Faiz yakin jaringannya itu mampu sekurang-kurangnya melangkah ke pusingan akhir anugerah Puskas 2016.

“InsyaAllah jika ada rezeki boleh ke tiga jaringan terbaik. Tapi bagi saya untuk berada dalam senarai 10 terbaik sudah satu kejayaan. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan mengundi,” ujarnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 8:4



Tiada ulasan:

Catat Ulasan