Sabtu, 3 Disember 2016

Faiz peminat Ronaldo

 
FAIZ (kiri) bersama isterinya, Nor Zawanis Hashim dan anak, Muhammad Aqil Zayyan melihat laman web FIFA pada skrin komputer riba ketika ditemui di kediaman mereka dekat Batu Uban, Pulau Pinang semalam.

PEMAIN tengah Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri yang jaringannya disenaraipendek untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 sering menonton aksi pemain bola sepak terkemuka dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi ketika melakukan sepakan percuma.

Demikian pengakuan bapanya, Subri Kadir ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kepok, Air Hitam, Kedah semalam.

Subri, 64, berkata anaknya itu sering meluangkan masa menonton aksi dan perlawanan bola sepak melalui YouTube dan dia seolah-oleh ‘belajar’ perkara baharu melalui tontonannya di laman internet itu.

“Faiz minat bermain bola sepak sejak kecil lagi dan sering menonton aksi pemain terkemuka dunia melalui YouTube dan daripada situ dia belajar dan berjaya menghasilkan jaringan yang membanggakan Malaysia,” kata Subri.

FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com kelmarin mengumumkan tiga gol terbaik ke peringkat akhir untuk Anugerah Puskas FIFA 2016 yang akan berlangsung di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.

Selain gol ajaib Faiz, turut tersenarai dalam senarai akhir untuk anugerah berkenaan ialah jaringan pemain kelab Corinthians, Brazil, Marlone dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Subri berkata bakat Faiz dalam sukan bola sepak sudah dikesan seawal usia dua tahun lagi apabila dia boleh menggelecek bola dengan begitu baik sekalipun pada usia semuda itu.

Beliau berkata, penyerang pasukan Pulau Pinang yang membuat sepakan lencongan menakjubkan itu, selalu menggelecek bola di hadapan datuknya yang percaya Faiz mampu menjadi pemain bola sepak terkenal suatu hari nanti.

“Faiz selalu menggelecek bola di hadapan ayah saya, Allahyarham Kadir Ahmad sejak dia kecil lagi. Bakat Faiz adalah satu anugerah daripada Allah yang jarang ada pada orang lain,” katanya.

Beliau berkata walaupun Faiz tidak pernah mendapat latihan atau terlibat dengan mana-mana akademi bola sepak, anaknya itu kerap menyertai kejohanan di peringkat kampung dan daerah bagi mengasah bakatnya.

Selepas menamatkan pengajian di sekolah rendah, Faiz menyambung pelajarannya ke sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai Jitra, Kedah sehingga ke tingkatan tiga sebelum dilamar jurulatih pasukan bola sepak Sekolah Menengah Teknik Arau, Perlis.

“Ketika di Perlis, bakatnya mula menyinar dengan membantu pasukannya memenangi perlawanan di peringkat Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Teknik dan Perlis,” katanya.

Bagi ibu Faiz, Saadiah Ishak, 55, anak kelima daripada enam beradik itu adalah permata buat keluarga mereka kerana sering menjaringkan gol buat pasukan Pulau Pinang dan seorang pemain yang bagus.– Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Rp23DuK4 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan