FAIZ (kanan) terima Anugerah
Penghargaan Khas.
myMetro
Shah Alam: Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) percaya arena bola sepak tanah air akan melakar satu lagi
sejarah apabila pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri kini berpeluang cerah
memenangi Anugerah Puskas 2016.
Timbalan Presidennya Datuk Seri
Afandi Hamzah berkata, rakyat Malaysia perlu terus memberi sokongan dengan
mengundi jaringan ajaib Faiz itu yang kini dalam senarai finalis anugerah
berkenaan.
“Meskipun saingan kancah bola
sepak tempatan sudah berakhir, namun warna kegemilangannya masih belum lagi
padam kerana kita masih menunggu debaran pada tarikh 9 Januari ini di mana Faiz
Subri bersaing di Anugerah Puskas anjuran FIFA.
“Marilah kita sama-sama
mendoakan agar pemain daripada negara kita dapat meraih anugerah terbabit dan
saya mengharapkan rakyat Malaysia terus mengundi jaringan itu bagi memastikan
impian kita dapat menjadi kenyataan,” katanya pada pembukaan Majlis Anugerah
Bola Sepak Kebangsaan 2016 di sini, malam tadi.
Sepakan percuma yang ‘melanggar
hukum fizik’ dilakukan Faiz ketika aksi Liga Super antara Pulau Pinang
menentang Pahang kini mendahului jumlah tontonan di laman Youtube rasmi badan
induk bola sepak antarabangsa itu.
Menerusi keputusan undian yang
dikeluarkan FIFA pada pusingan pertama, Faiz bakal dicabar oleh dua lagi
pesaing lain iaitu pemain tengah Corinthians, Marlone dan penyerang skuad
kebangsaan wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk merebut anugerah jaringan
tercantik di Zurich Switzerland pada 9 Januari depan.
Sementara itu, Afandi turut
mengharapkan agar kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) terus melakar sejarah
dengan menjadi pasukan tempatan pertama layak beraksi peringkat kumpulan Liga
Juara Juara Asia (ACL) tahun depan.
“Tahniah kepada Johor DT kerana
menjadi juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut dan merangkul Piala
Sumbangsih serta Piala FA.
“Mereka sekali lagi akan
mewakili negara ke pusingan kelayakan ACL dan kami mendoakan agar JDT dapat
melepasi pusingan kelayakan ini dan menjadi pasukan Malaysia pertama beraksi di
saingan itu,” katanya.
Johor DT sebelum ini muncul
pasukan Asia Tenggara pertama memenangi Piala AFC tahun lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:20 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan