Faiz bersama isteri dan anak
sulungnya. FOTO HM
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan menaja tiket penerbangan isteri dan
dua anak pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri ke Majlis Anugerah Bola Sepak
FIFA 2016 di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd Amin berkata, penajaan itu sebagai menghargai kejayaan Faiz
tersenarai dalam tiga finalis bagi merebut Anugerah Puskas FIFA 2016 berbesar
hati untuk menaja perjalanan keluarganya.
"Persatuan akan menaja
tiga tiket penerbangan kelas perniagaan (business class) kepada isterinya,
Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4 dan Muhammad Aqil
Zayyan yang berusia lapan bulan.
"Selain isteri dan dua
anaknya, Faiz akan turut ditemani wakil daripada FAM iaitu Timbalan Presiden,
Datuk Seri Afandi Hamzah untuk bersama-sama ke majlis anugerah di Zurich
itu," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Mereka dijadual akan berlepas
dari Kuala Lumpur pada 8 Januari (Ahad) jam 10.15 pagi dan dijangka tiba semula
di tanah air pada 11 Januari (Rabu) jam 3.15 petang.
Faiz, 29, sebelum ini mencipta
sensasi apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu
Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu
berjaya dicalonkan dalam anugerah Puskas tahun ini.
Gol m-62 itu yang dikatakan
‘melanggar hukum fizik’ berjaya mencuri perhatian serata dunia selepas menjadi
viral di laman sosial.
Malah kejayaan melepasi
pusingan pertama membabitkan 10 pencalonan lain bagi anugerah berkenaan sebelum
ini meletakkan dirinya pada posisi terbaik memenangi gelaran itu.
Untuk undian pusingan terakhir
itu Faiz turut dicabar dua lagi finalis lain iaitu pemain kelab Corinthians
dari Brazil, Johnath Marlone dan pemain remaja wanita Venezuela, Daniuska
Rodriguez.
"Persatuan ingin sekali
lagi mengucapkan selamat maju jaya kepada Faiz. Buat para peminat bola sepak di
seluruh dunia khususnya di Malaysia, teruskan mengundi di fifa.com/Puskas
sehingga 9 Januari 2017 bagi memastikan satu lagi sejarah akan tercipta dengan
Faiz muncul pemain pertama dari Malaysia dinobatkan sebagai pemenang,"
katanya
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 4:56 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan