FAIZ (kiri) bersama keluarga
akan berlepas ke Zurich pada 8 Januari depan.
Kuala Lumpur: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan menaja tiket penerbangan isteri dan
dua anak pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri ke Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA
2016 di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.
Setiausaha Agung FAM Datuk
Hamidin Mohd Amin berkata, sebagai menghargai kejayaan Faiz tersenarai dalam
tiga calon akhir bagi merebut Anugerah Puskas FIFA 2016, badan induk kebangsaan
itu berbesar hati untuk menaja perjalanan keluarganya.
“Persatuan akan menaja tiga
tiket penerbangan kelas perniagaan (business class) kepada isterinya,
Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil
Zayyan yang berusia lapan bulan.
“Selain isteri dan dua anaknya,
Faiz akan turut ditemani wakil FAM iaitu Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi
Hamzah untuk bersama-sama ke majlis anugerah di Zurich itu,” katanya menerusi
satu kenyataan.
Mereka dijadual berlepas dari
Kuala Lumpur pada 8 Januari (Ahad) jam 10.15 pagi dan dijangka tiba semula di
tanah air pada 11 Januari (Rabu) jam 3.15 petang.
Faiz, 29, sebelum ini mencipta
sensasi apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu
Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu
berjaya dicalonkan dalam Anugerah Puskas tahun ini.
Gol pada minit ke-62 itu yang
dikatakan ‘melanggar hukum fizik’ berjaya mencuri perhatian serata dunia
selepas menjadi viral di laman sosial.
Malah, kejayaan melepasi
pusingan pertama membabitkan 10 pencalonan lain bagi anugerah berkenaan sebelum
ini meletakkan dirinya pada posisi terbaik untuk memenangi gelaran itu.
Untuk undian pusingan terakhir,
Faiz turut dicabar dua lagi finalis lain iaitu pemain kelab Corinthians dari
Brazil, Johnath Marlone dan pemain remaja wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.
“Persatuan ingin sekali lagi
mengucapkan selamat maju jaya kepada Faiz. Buat para peminat bola sepak di
seluruh dunia khususnya di Malaysia, teruskan mengundi di fifa.com/Puskas
sehingga 9 Januari 2017 bagi memastikan satu lagi sejarah akan tercipta dengan
Faiz muncul pemain pertama dari Malaysia dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:52 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan