05 Disember 2016 12:14 AM
JARINGAN Mohd. Faiz Subri pada
16 Februari lalu terhasil menerusi teknik yang unik untuk membolehkannya berada
dalam senarai tiga calon akhir anugerah Puskas 2016
KUALA LUMPUR 4 Dis. – Persatuan
Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) percaya, jaringan ‘ajaib’
penyerang Pulau Pinang Mohd. Faiz Subri mampu mencipta sejarah Asia dengan
memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.
Presiden PFAM, Hairuddin Omar
turut mengakui, jaringan yang dilakukan pemain berusia 29 tahun itu dalam aksi
Liga Super bertemu Pahang sememangnya layak berada dalam kelompok tiga gol
terbaik dunia kerana ia dihasilkan menerusi teknik yang unik.
“Ketiga-tiga gol ada keunikan
tersendiri. Bagi Faiz, disenarai sebagai antara gol terbaik dunia adalah satu
pengiktarafan besar, malah ia juga pengiktirafan buat Malaysia.
“Bagi saya gol dijaringkan Faiz
memang layak berada dalam kedudukan tiga terbaik dan secara peribadi saya dapat
lihat peluang cerah untuk dia memenangi anugerah Puskas,” katanya kepada Utusan
Malaysia.
Jaringan Faiz, yang seakan
mengulangi gol ‘ajaib’ legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos pada 1997
tidak melanggar hukum fizik tetapi dihasilkan menerusi teknik unik yang sangat
sukar.
Selain gol Faiz, yang telah
menewaskan jaringan dua bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar, dua lagi
calon untuk anugerah Puskas 2016 adalah jaringan akrobatik pemain Brazil,
Marlone serta pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.
Tambah Hairuddin lagi, ini
merupakan anugerah terbesar buat bola sepak Malaysia meskipun skuad negara
masih gagal melayakkan diri ke saingan Piala Dunia.
“Kalau kita tidak dapat piala
besar tetapi sekurang-kurangnya dengan kejayaan Faiz ini, ia telah menaikkan
nama Liga Malaysia di seluruh dunia,” jelasnya.
FIFA dalam laman web rasminya
www.fifa.com berkata, peminat kini berpeluang mengundi tiga jaringan terbabit
dengan jumlah undian daripada pusingan pertama akan ditambah dengan undian
akhir bagi menentukan pemenang anugerah berprestej itu.
Anugerah Puskas pertama kali
diperkenalkan pada 20 Oktober 2009 menjadi milik ketua pasukan Portugal,
Cristiano Ronaldo.
SUMBER- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gol-faiz-mampu-cipta-sejarah-asia-1.416501#sthash.98lCnIrE.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan