SABTU, 3 DISEMBER 2016 @ 8:31
PM
Subri Kadir,64, (kanan) dan
isteri, Saadiah Ishak,55, (kiri) menunjukkan keratan akhbar mengenai
perkembangan karier anak mereka, Faiz Subri,29, hingga tercalon antara tiga yang
terbaik bagi Anugerah Puskas anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)
2016, hari ini.
- Foto BERNAMA
JERLUN: Mohd Faiz Subri, yang
jaringannya disenarai pendek antara tiga gol terbaik untuk Anugerah Puskas FIFA
2016, sering menonton aksi pemain bola sepak terkemuka dunia seperti Christiano
Ronaldo dan Lionel Messi membuat sepakan percuma, kata bapanya Subri Kadir.
Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kepok, Ayer Hitam, dekat sini, hari
ini, Subri, 64, berkata anaknya itu sering meluangkan masa menonton aksi dan
perlawanan bola sepak melalui YouTube dan seolah-oleh 'belajar' perkara baharu
melalui tontonannya di laman Internet itu.
"Mohd Faiz dari kecil lagi
minat main bola sepak dan sering menonton aksi pemain terkemuka dunia melalui
YouTube. Dari situ dia belajar dan berjaya menghasilkan jaringan yang
membanggakan Malaysia," katanya.
FIFA menerusi laman web rasminya,
www.fifa.com semalam, mengumumkan tiga gol terbaik ke peringkat akhir untuk
Anugerah Puskas FIFA 2016. Selain gol ajaib Mohd Faiz, turut tersenarai dalam
senarai akhir untuk anugerah berkenaan ialah jaringan pemain kelab Corinthians,
Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan wakil tunggal wanita, Daniuska
Rodriguez dari Venezuela.
Subri Kadir,64, menunjukkan
beberapa anugerah yang pernah dimenangi anaknya Faiz Subri,29, sepanjang karier
bermain bolasepak hingga tercalon antara tiga yang terbaik bagi Anugerah Puskas
anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, hari ini. - Foto
BERNAMA
Subri berkata, bakat Mohd Faiz dalam bola
sepak sudah dikesan seawal usia dua tahun lagi, apabila dia boleh menggelecek
bola dengan begitu baik sekali pada usia semuda itu. Beliau berkata, penyerang
pasukan Pulau Pinang yang membuat sepakan lencongan menakjubkan itu, selalu
menggelecek bola di hadapan datuknya, yang percaya Mohd Faiz mampu menjadi
pemain bola sepak terkenal suatu hari nanti.
"Mohd Faiz selalu
menggelecek bola di hadapan ayah saya, Allahyarham Kadir Ahmad sejak dia kecil
lagi. Bakat Mohd Faiz adalah satu anugerah daripada Allah yang jarang ada pada
orang lain," katanya. Beliau berkata, walaupun Mohd Faiz tidak pernah
mendapat latihan atau terbabit dengan mana-mana akademi bola sepak, anaknya itu
kerap menyertai kejohanan di peringkat kampung dan daerah bagi mengasah bakat.
Selepas menamatkan pengajian di
sekolah rendah, Mohd Faiz ke sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai,
dekat sini, sehingga ke Tingkatan Tiga sebelum dilamar jurulatih bola sepak
Sekolah Menengah Teknik Arau, Perlis.
"Ketika di Perlis, karier Mohd Faiz
sebagai pemain bola sepak profesional bermula dengan membantu pasukannya
memenangi perlawanan bola sepak di peringkat Sekolah Menengah, Sekolah Menengah
Teknik dan Perlis," katanya.
Ibu Mohd Faiz, Saadiah Ishak, 55, berkata
anak kelima daripada enam beradik itu adalah permata buat keluarga mereka dan
seorang pemain yang bagus. "Saya tidak terkejut dengan pencalonan ini,
tetapi terkejut dengan jaringan yang dilakukan sehingga menjadi bualan penduduk
kampung dan saudara-mara," katanya.
Pada masa ini, Saadiah berkata, Mohd Faiz
belum memaklumkan bila akan berangkat ke Zurich, Switzerland dan berharap
anaknya itu memenangi anugerah berkenaan, seterusnya mengharumkan nama Malaysia
di pentas bola sepak dunia. Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi
jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum pemenang
akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, pada 9 Januari depan. -
BERNAMA
Sumber-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/219939
Tiada ulasan:
Catat Ulasan