Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Debaran cukup
dirasai pemain Pulau Pinang Faiz Subri (gambar) menantikan keputusan sebaik
tarikh tutup undian pusingan pertama anugerah Puskas 2016 Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (FIFA) hari ini.
Keputusan undian itu akan
menentukan tiga daripada 10 jaringan tercantik untuk bersaing di peringkat
akhir dalam satu majlis berprestij di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.
Biarpun terpaksa bersaing
dengan gol jaringan pemain lebih ternama seperti Lionel Messi dan Neymar dari
Barcelona namun berdasarkan teknik gol yang dihasilkan oleh Faiz serta reaksi
peminat di seluruh dunia, peluang untuk pemain berusia 29 tahun itu berada
dalam senarai akhir tiga terbaik amat cerah.
Populariti calon bukan jaminan
untuk merangkul anugerah yang diperkenalkan pada 2009 itu kerana pemain Brazil
Wendell Lira yang kurang dikenali dinobat selaku pemenang dengan undian
sebanyak 46.7 peratus untuk mengatasi Messi (33.3 peratus).
Menurut Faiz, andai berjaya
atau tidak, dia tetap berbangga dan tidak akan putus asa untuk terus mencuba
meningkatkan kariernya.
“Memang berdebar juga tunggu
keputusan tapi apa pun saya serah kepada keputusan undian. Saya tak pernah
terfikir untuk sampai ke tahap ini dan jika saya gagal sekali pun, saya tetap
meneruskan kerja saya sebagai pemain bola sepak seperti biasa, malah akan
berusaha lebih gigih lagi,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Selain Messi dan Neymar, turut
bersaing untuk merebut anugerah sempena nama penyerang legenda Real Madrid dan
Hungary, Ferenc Puskas itu adalah Mario Gaspar dari Sepanyol, Hlompho Kekana
(Afrika Selatan), Marlone (Brazil), Hal Robson-Kanu (Wales), Daniuska Rodriguez
(Venezuela), Saul Niguez (Sepanyol) dan Simon Skrabb (Finland).
Faiz mencipta sejarah baru bola
sepak tanah air apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika
bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari
lalu berjaya dicalonkan dalam anugerah Puskas tahun ini.
Penyerang Pulau Pinang itu
sedar ada pihak yang mempertikaikan jaringan yang dikatakan melanggar hukum
fizik itu dengan mendakwa ia dilakukan secara tak sengaja namun hakikatnya dia
berlatih untuk melakukannya.
“Memang ada yang
mempertikaikannya dan ada yang mahu saya melakukan jaringan seperti itu lagi.
Saya tidak kisah, saya akan cuba melakukan yang terbaik bukan untuk mencipta
nama sendiri tapi untuk kejayaan pasukan.
“Saya berlatih untuk melakukan
sepakan seperti itu, ada masa menjadi dan ada yang tak jadi, perkara itu biasa
bagi mana-mana pemain,” kata penyerang Pulau Pinang itu.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 10:36 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan