Jumaat, 16 Disember 2016

Hajat berbaju Melayu jadi realiti?

16 Disember 2016 12:19 AM
HOMARE SAWA hadir menerima anugerah Pemain Wanita Terbaik Dunia 2011 dengan memakai baju tradisional Jepun, Kimono.

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Hasrat Mohd. Faiz Subri untuk memakai baju Melayu dalam Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 di Zurich pada 9 Januari ini mungkin menjadi kenyataan.
Dalam Anugerah FIFA 2011, pemain Jepun, Homare Sawa naik ke pentas dengan memakai baju tradisional, Kimono ketika menerima trofi Pemain Wanita Terbaik Dunia.
Itu bermakna, peluang untuk Faiz, 29, hadir ke anugerah itu dengan berbaju Melayu adalah cerah, walaupun sehingga kini dia masih belum me­nerima sebarang maklumat mengenai kod etika pemakaian.
“Saya belum tahu apa baju yang boleh dipakai atau aktiviti di sana, mungkin dalam masa terdekat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) akan memaklumkan kerana mereka sudah menerima surat jemputan rasmi.
“Mungkin peraturan lama membenarkan Homare Sawa pakai Kimono tetapi pada 2013 saya lihat dia tidak lagi pakai Kimono. Jadi, saya kena tunggu dan lihat macam mana,” kata Faiz kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun kata Faiz, dia pasti akan memberi ucapan dalam Bahasa Melayu andai dijemput naik ke pentas menerima hadiah kerana penggunaan bahasa ibunda bukan satu halangan.
Bintang penyerang Argentina, Lionel Messi berucap dalam ibunda setiap kali naik ke pentas untuk menerima anugerah Ballon d’Or, begitu juga rakan sepasukannya di Barcelona iaitu penyerang Brazil, Neymar.
Faiz akan bersaing de­ngan dua lagi calon iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.
Sementara itu, Faiz mengucapkan terima kasih kepada FAM atas kesudian mereka menaja tiket penerba­ngan dia bersama isteri dan dua orang anaknya ke majlis tersebut.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hajat-berbaju-melayu-jadi-realiti-1.420293#sthash.suxbjBlS.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan