Khamis, 22 Disember 2016

Jaringan Faiz penyelamat bola sepak


 

22 Disember 2016 12:10 AM
KUALA LUMPUR 21 Dis. – Tahun 2016 merakamkan lebih banyak kenangan pahit berbanding manis dialami bola sepak tempatan, sama ada di peringkat domestik mahupun di pentas antarabangsa.
MOHD. FAIZ SUBRI akan berada di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan setelah jaringannya terpilih dalam senarai tiga calon akhir untuk Anugerah Puskas.
Persaingan Liga Malaysia menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan mereka untuk kali ketiga berturut-turut manakala Melaka United muncul juara Liga Perdana dan Piala FAM menjadi milik Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).
Bagaimanapun, belum sempat tahun 2016 melabuhkan tirainya sudah ada beberapa pasukan yang berkemungkinan menarik diri disebabkan masalah kewangan antaranya Kelantan, Perlis serta Selangor manakala DRB Hicom terlebih dahulu mengambil langkah tersebut.
Arena bola sepak tempatan terus dihimpit kontroversi apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat melepaskan jawatan sehingga memaksa barisan exco membuat pemilihan yang baharu dalam Kongres FAM ke-53 pada tahun depan.
Antara calon yang dikaitkan sebagai pengganti adalah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa serta tokoh korporat terkemuka negara Datuk Seri Idris Jala.
Bagaimanapun Tunku Ismail tidak berminat untuk bertan­ding dalam Kongres FAM ke-53, sebaliknya mencadangkan nama Pengerusi Jawatankuasa Intergriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat sebagai calon.
Sebelum itu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail menggemparkan negara dengan dakwaan beliau memiliki pemacu pena mengandungi pelbagai maklumat mengenai penyelewengan dan salah laku dalam FAM sepanjang tempoh 30 tahun.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menyiasat kandungan pemacu pena itu kemudian mengesahkan segala dokumen di dalamnya hanyalah laporan me­ngenai program pembangunan yang dilaksanakan oleh FAM.
Di pentas antarabangsa, pencapaian Harimau Malaysia yang terkandas di peringkat kumpulan kejohanan Piala AFF telah membuatkan FAM dikritik semakin hebat.
Namun, penyokong masih mempunyai harapan untuk meraikan sesuatu apabila pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri tersenarai ke dalam tiga calon akhir untuk memenangi anugerah Puskas FIFA pada tahun ini hasil jarigan uniknya.
Keputusan untuk pemenang jaringan tercantik itu bakal diumumkan pada 9 Januari depan.

Sumber-- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jaringan-faiz-penyelamat-bola-sepak-1.422740#sthash.IGHTVSiL.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan