MOHD. FIRDAUS ISMAIL | 04
Disember 2016 12:10 AM
Mohd Faiz Subri
PULAU PINANG 3 Dis. - Di mata
peminat Mohd. Faiz Subri tentunya gembira dan bangga dengan kejayaannya
memasuki senarai tiga calon akhir untuk merebut Anugerah Puskas tetapi
sebenarnya penyerang Pulau Pinang berdepan tekanan hebat dalam kariernya
selepas menjaringkan gol unik yang menarik perhatian dunia.
Menjadi sensasi di seluruh
dunia dalam tempoh 24 jam selepas bola sepakan bebasnya melambung ke kiri,
melencong ke kanan pada sudut tajam sebelum menerjah gawang Pahang dalam
perlawanan Liga Super pada Februari lalu, Mohd. Faiz mengakui prestasinya
sedikit terjejas selepas perlawanan berkenaan.
Pemain berusia 29 tahun itu
mengakui dia tercari-cari rentak permainan sendiri selepas itu dan kecederaan
buku lali yang dihadapinya memburukkan lagi keadaan.
“Selepas melakukan jaringan
itu, harapan penyokong Pulau Pinang kepada saya sangat tinggi dan mahu pasukan
kami terus mencipta kemenangan demi kemenangan dan keadaan tersebut mula
menjejaskan rentak permainan ketika itu, apatah lagi persaingan liga baharu
sahaja bermula,” katanya ketika ditemui di sini.
Semalam, Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) mengumumkan pemain kelahiran Air Itam, Kedah itu antara dua
pemain yang mendapat undian terbanyak untuk mara ke peringkat kedua undian.
Faiz bersama-sama pemain Brazil,
Marlone dan calon tunggal wanita Danuiska Rodriguez dari Venezuela akan
bersaing merebut anugerah berkenaan dengan pemenang akan diumumkan pada 9
Januari depan di Zurich, Switzerland.
Mereka mengalahkan tujuh calon
lain iaitu Lionel Messi (Argentina), Neymar (Barcelona), Mario Gaspar
(Sepanyol), Saul Niguez (Atletico Madrid), Hlompho Kekana (Afrika Selatan),
Simon Skrabb (Atvidaberg) dan Hal Robson-Kanu (Wales).
Mohd. Faiz, yang pernah beraksi
bersama T-Team, berkata, bagaimanapun dia kini sudah pulih daripada populariti
yang dikecapi dan fokusnya kini ialah memperbaiki prestasinya bersama skuad
Harimau Kumbang untuk musim depan.
“Saya berharap perjalanan
karier musim depan berjalan lancar selepas ini dan (Pulau Pinang) kembali
bersaing hebat dengan pasukan-pasukan lain,” ujarnya.
Untuk rekod, undian yang
dikumpulkan dari pusingan pertama menerusi laman web
http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ akan dibawa ke
pusingan kedua yang juga terakhir.
Sumber-- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/saya-tertekan-1.416054#sthash.QcDsMhgG.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan