3 DISEMBER 2016
Faiz Subri Pemain Pulau Pinang,
Mohd Faiz Subri bersama jurulatih pasukan, Jacksen Ferreira Tiago mengadakan
sidang akhbar, Rabu, mengenai jaringan cantik gol ketiga Mohd Faiz semasa
perlawanan Liga Super menentang Pahang FC di Staidum Bandaraya, Selasa malam
yang kini menjadi tumpuan perhatian dunia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak yang sedang berada di Amerika Syarikat. - Foto Bernama
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) mengucapkan tahniah kepada pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri kerana
muncul antara tiga calon utama bagi Anugerah Puskas Fifa 2016 dengan jaringan
ajaibnya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd Amin mengucapkan terima kasih kepada pemain itu kerana
mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selepas muncul pendahulu dalam
senarai undian pusingan pertama yang berakhir hari ini.
"Bagi pihak FAM, saya
ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Faiz kerana dipilih
antara tiga finalis anugerah tersebut. Saya harap semua rakyat Malaysia akan
terus mengundi untuk beliau merangkul anugerah itu,' katanya kepada Bernama,
malam ini.
Mengenai kemungkinan FAM
memberi ganjaran, Hamidin berkata: "FAM akan memutuskannya kemudian bagi
menghargai kejayaan itu."
Beliau turut menyatakan pegawai
FAM akan mengiringi Mohd Faiz untuk majlis anugerah itu yang akan diadakan
sempena Anugerah Bola Sepak Fifa di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.
Selain Mohd Faiz, dua lagi
finalis ialah Johnath Marlone, pemain kelab Corinthians dari Brazil dan pemain
wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.
Selepas undian pusingan ditutup
hari ini, tiga finalis itu akan melalui proses undian kedua yang bermula hari
ini sehingga tarikh tutup pada hari anugerah itu di Zurich, 9 Januari nanti.
Sementara itu, pengurus baharu
skuad 'Black Panthers', Zairil Khir Johari berkata kejayaan Mohd Faiz adalah
hasil sokongan semua rakyat Malaysia dan peminat bola sepak dari seluruh dunia
yang kagum dengan jaringan itu.
"Kami harap semua rakyat
Malaysia terus menyokong dan mengundi Mohd Faiz kerana beliau telah melakar
sejarah sebagai orang pertama di Malaysia dan juga dari rantau ini dinamakan
sebagai calon untuk anugerah itu," katanya.
Beliau berkata Persatuan Bola
Sepak Pulau Pinang (FAP) juga berharap pencapaian Mohd Faiz itu akan menjadi
motivasi untuk semua pemain remaja dan profesional.
"Menang atau kalah di
Zurich tidak kisah kerana di mata persatuan dan seluruh rakyat Malaysia, Mohd
Faiz adalah juara dalam hati kita," katanya sambil menambah FAP sedang
membincang ganjaran untuk pemain tersebut.
Dalam pada itu, Presiden
Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa turut memuji
pencapaian Mohd Faiz.
"Bagi jaringan ajaibnya
disenarai pendekkan antara tiga calon Anugerah Puskas semenangnya pencapaian
bersejarah khusus bagi Mohd Faiz dan bola sepak negara amnya.
"Kewartawan sukan negara
bangga dengan beliau dan saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus
menyatakan sokongan dengan mengundi Mohd Faiz pada pada pusingan kedua bagi
memastikan beliau dapat membawa pulang anugerah itu ke tanahair," katanya.
- Bernama
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3
DISEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan