06 Disember 2016 12:13 AM
Mohd. Faiz Subri
KUALA LUMPUR 5 Dis. – Andai
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pemain memakai pakaian
tradisional dalam majlis anugerah Puskas pada 9 Januari nanti, Mohd. Faiz
Subri mengimpikan untuk hadir di Zurich dengan mengenakan baju Melayu.
Ketika ditanya mengenai
persiapan menghadapi detik bersejarah itu, pemain berusia 29 tahun tersebut
mengakui, buat masa ini dia tidak pasti apa akan dipakai atau perlu dilakukan
dalam majlis berkenaan kerana belum menerima maklumat rasmi daripada Persatuan
Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mahu pun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun kata Mohd. Faiz,
sebagai rakyat Malaysia pertama tercalon dalam anugerah berprestij itu, dia
sebolehnya mahu memperkenalkan Malaysia dengan memakai baju Melayu andai ia
tidak melanggar kod etika pemakaian majlis berkenaan.
“Sehingga hari ini saya belum
menerima sebarang maklumat mengenai apa yang perlu disediakan sebelum pergi ke
sana (Zurich) jadi saya belum buat sebarang persediaan.
“Semestinya saya mahu membawa
semua keluarga saya kerana ini merupakan peluang yang mungkin datang sekali
dalam seumur hidup kita. Alhamdullilah...Ini salah satu rezeki Allah kepada
saya.
“Jika anugerah Puskas menjadi
milik saya nanti, kalau boleh saya mahu memberi ucapan dalam bahasa Melayu.
“Saya lebih bangga untuk
bertutur dalam bahasa kebangsaan. Tiada istilah malu untuk bertutur bahasa
ibunda kerana saya rakyat Malaysia.
“Kalau kita tidak bangga
dengan bahasa kita siapa lagi?. Seperti saya cakap sebelum ini, kejayaan ini
bukan kejayaan saya seorang tapi kejayaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kebiasaannya calon atau
pemenang anugerah FIFA akan hadir di majlis tersebut dengan mengenakan sut
lengkap.
Namun berucap dalam bahasa
ibunda apabila menerima hadiah kemenangan adalah perkara biasa.
Penyerang Argentina, Lionel
Messi bertutur dalam bahasa Sepanyol ketika memberi ucapan selepas diumum
sebagai pemenang Ballon d’Or 2015.
Pemenang Puskas 2015, Wendell
Lira dari Brazil juga bertutur dalam bahasa ibunda ketika memberi ucapan dalam
majlis berkenaan.
Mohd. Faiz akan bersaing
dengan dua lagi calon iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita,
Daniuska Rodriguez dari Venezuela.
sumber- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/faiz-impi-pakai-baju-melayu-1.416760#sthash.Q99WK4d8.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan