3 DISEMBER 2016
Faiz Subri
SIAPA sangka seorang budak
kampung, Mohd Faiz Subri tiba-tiba mencuri perhatian dunia kerana jaringan
penyerang Pulau Pinang itu telah disenarai pendek antara tiga gol terbaik untuk
Anugerah Puskas Fifa 2016.
Selepas disenarai pendek untuk
anugerah tersebut, beliau sekarang nampaknya perlu memadankan pakaian formal
yang bersesuaian untuk menghadiri majlis Anugerah Fifa di Zurich pada 9 Januari
tahun depan.
Pemain berusia 29 tahun yang
berasal dari Air Hitam, Kedah mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah
mengundi untuk membolehkan jaringannya disenarai pendek.
Ketika dihubungi Bernama, Mohd
Faiz berkata, beliau tidak menjangka dipilih untuk berada di tiga tempat
teratas daripada senarai 10 teratas, menewaskan pemain-pemain handalan lain.
"Saya bersyukur kepada
Tuhan kerana memberi saya peluang ini dan anugerah ini amat bermakna dalam
hidup saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap orang di luar
sana yang percaya bahawa saya telah melakukan yang terbaik," kata beliau
ketika dihubungi.
Menurut laman web Fifa, dua
lagi pencalonan yang disenarai pendek ialah jaringan Johnath Marlone dari
Brazil dan pemain wanita Venezuela Daniuska Rodriguez, dari pusingan pertama 10
calon yang disenarai pendek.
Mohd Faiz juga berazam untuk
menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang dan jika diberi peluang untuk
mewakili negara dengan menjadi pemain kebangsaan, beliau dengan rasa gembira
menerimanya.
"Fokus saya sekarang ialah
untuk menjadi pemain yang lebih baik dan dengan pencalonan ini, semangat saya
untuk menjadi yang terbaik semakin berkobar-kobar," katanya.
Mohd Faiz juga berkata sehingga
kini beliau tidak mempunyai apa-apa yang istimewa kerana tidak menjangka berada
dalam senarai tiga teratas kerana hanya dimaklumkan mengenai perkara itu
kira-kira jam 8.30 malam tadi.
"Saya pasti akan memakai
sesuatu yang menarik. Ini adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya dan
juga seluruh keluarga saya," katanya.
Mengenai keluarganya, Mohd Faiz
berkata mereka gembira dan mendoakan semoga ini akan menjadi batu loncatan bagi
saya untuk muncul sebagai pemain terbaik pada masa depan.
"Keluarga saya terutama
isteri saya, anak-anak dan ibu bapa memberi sokongan kepada saya selama ini,
dan bagi saya, itu sudah cukup. Ini akan membanggakan mereka kerana dari
seorang pemain kampung saya kini disenarai pendek untuk anugerah
Fifa,"katanya.
Mohd Faiz menyempurnakan
jaringan yang menakjubkan itu semasa membuat sepakan percuma ketika menentang
Pahang pada aksi Liga Super, 16 Februari lalu, untuk membolehkan pasukan itu
mengatasi Pahang 4-1.
Laman web Fifa itu tidak
menyatakan jumlah undi yang diterima bagi ketiga-tiga jaringan terbaik itu.
Setakat jam 9.30 malam, gol
jaringan Mohd Faiz telah disaksikan menerusi Youtube oleh 1,384,112 penonton,
Marlone (904,436 penonton) dan Rodriguez (618,594 penonton). - Bernama
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3
DISEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan