Lebih 2 juta tonton YouTube bukan bererti akan menang
ROZAIDI ZULKIFLI | 13 Disember 2016 12:18 AM
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Menyedari ramai peminat bola sepak tempatan yang terlalu mahukan dia memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Mohd. Faiz Subri memohon mereka agar tidak meletakkan harapan tinggi dan menganggap dia hampir pasti akan pulang bersama anugerah berprestij itu di Zurich pada 9 Januari ini.
Sehingga pukul 10 malam ini, video rasmi jaringan ‘ajaib’ Faiz ditonton lebih 2 juta pengunjung Youtube, jauh mengatasi dua pencabarnya iaitu Marlone dari Brazil (1.28 juta tontonan) dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez (933,316).
Faiz, 29, mengakui, dia amat gembira dengan perkembangan itu dan teruja menantikan detik bersejarah 9 Januari, namun dalam masa sama bimbang apabila ramai peminat yang meletakkan harapan besar untuk melihat jaringannya dipilih sebagai gol tercantik 2016.
Malah hari ini, di laman-laman sosial tersebar berita kononnya pemain tengah Pulau Pinang itu telah pun dinobat sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 dan membawa pulang hadiah kemenangan AS$100,000 (RM444,289).
Kata Faiz, jumlah tontonan di Youtube bukan mewakili undian sebenar FIFA. Keputusan undian hanya akan diketahui pada malam gala anugerah yang akan diadakan di Zurich nanti.
“Bukan saya tidak tidak teruja dengan perkembangan ini, tetapi saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kepada diri sendiri dan peminat bola sepak negara. Dua lagi jaringan yang masuk pencalonan akhir juga ada keistimewaan.
“Pemenang akan ditentukan menerusi undian peminat di seluruh dunia, jadi kita kena tunggu sehingga tarikh akhir (9 Januari 2017) siapa terima undi tertinggi. Memang jumlah tontonan di Youtube tinggi, tetapi itu bukan mewakili undian sebenar.
“Jika menang itu adalah hasil undian anda semua yang sentiasa menyokong saya terutama rakyat Malaysia. Apa yang boleh saya katakan adalah jutaan terima kasih kepada semua,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siapa pun yang bakal dinobat selaku pemenang, Faiz, pemain kelahiran Air Hitam, Kedah sudah pun menjadi ‘juara’ di hati seluruh rakyat Malaysia kerana jaringan emasnya menaikkan nama bola sepak negara di seluruh dunia.
Faiz menjadi pemain Asia ketiga dan pertama dari Asia Tenggara disenarai pendek dalam 10 jaringan terbaik Puskas.
Kumi Yokoyama yang bermain untuk pasukan wanita bawah 17 tahun Jepun menjadi pemain Asia pertama mara ke peringkat 10 terbaik, diikuti Hisato Sato dari Jepun pada 2014.
Mengulas mengenai persiapan ke Zurich, Faiz memberitahu setakat ini masih belum ada apa-apa maklumat mengenai bila akan bertolak dan kod etika pakaian yang perlu dipakai dalam majlis tersebut.
Sementara itu, Faiz akan kembali menjalani latihan pertamanya bersama skuad Pulau Pinang, esok bagi persiapan menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia musim depan
sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-terlalu-teruja-1.419306#sthash.WxdokzNX.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan