Ketepikan cabaran Messi, Neymar
untuk calon gol tercantik
FADHILUL IZMEL ISHAK | 03
Disember 2016 12:22 AM
MOHD. FAIZ SUBRI (kiri) akan ke
Zurich pada 9 Januari depan untuk mengetahui sama ada jaringannya terpilih
sebagai pemenang Anugerah Puskas.
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Bakal
berkongsi pentas bersama beberapa bintang terkemuka dunia sudah pasti menjadi
kenangan terindah kepada Mohd. Faiz Subri apabila jaringannya berjaya
tersenarai dalam tiga calon akhir yang akan merebut Anugerah Puskas Persekutuan
Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.
Kejayaan itu turut melakar
sejarah tersendiri apabila jaringan Faiz berjaya mengetepikan dua pencabar
bertaraf bintang dunia iaitu Lionel Messi dan Neymar dalam 10 calon akhir.
Kini hanya tinggal dua pencabar
yang perlu dihadapi Faiz di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan iaitu
pemain dari Brazil, Marlone dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari
Venezuela yang turut terpilih ke dalam pengundian peringkat kedua.
“Alhamdulillah saya bersyukur
dengan rezeki yang diberikan ini. Saya rasa seperti bermimpi dan tidak
menjangkakan saya dapat peluang seperti ini. Terima kasih kepada ibu bapa saya,
rakan sepasukan di Pulau Pinang, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan seluruh
rakyat Malaysia kerana sudi mengundi saya.
“Bagi saya ini bukan kejayaan
saya seorang tetapi seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat bola sepak
tempatan.
“Bakal berkongsi pentas bersama
pemain terkemuka di dunia menjadi idaman bagi setiap pemain dan saya fikir ini
merupakan satu penghargaan yang amat bermakna dalam hidup saya,” katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas mengenai kejayaannya
mengetepikan dua bintang tersohor dunia Messi dan Neymar, Faiz berkata itu
membuktikan peminat bola sepak mengiktiraf jaringan dan tidak memilih
berdasarkan populariti.
“Bagi saya, kejayaan
mengetepikan Neymar dan Messi bukan menjadi keutamaan kerana apa yang penting
adalah jaringan saya dipilih oleh peminat kerana mereka benar-benar
menghargainya walaupun saya bukanlah pemain terkemuka dunia.
“Ini merupakan satu
pengiktirafan yang hebat pernah saya terima. Saya berharap dengan kejayaan ini
saya dapat mengembangkan lagi karier saya sebagai pemain bola sepak profesional
malah turut memberi suntikan motivasi dalam bidang yang saya ceburi.
“Jika berpeluang, insya-Allah
saya akan cuba melakukan jaringan seperti ini pada masa depan,” katanya lagi.
Jaringan Faiz dari jarak 30
meter menjadi viral di internet selepas ia melambung, melencong sebelum
menerjah gawang ketika dia membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu.
Pemenang Anugerah Puskas 2016
bakal ditentukan dalam satu lagi proses undian yang dilakukan oleh peminat dan
tarikh akhir untuk mengundi adalah 9 Januari.
Pemenang akan diumumkan bersama
pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia Tahunan (Ballon d’Or) dalam Majlis
Anugerah FIFA.
Setakat 10 malam ini, video
jaringan Faiz sudah ditonton lebih daripada 1.3 juta manakala Marlone 900,000
dan Rodriguez 618,000. Undian boleh dibuat di
http://www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/.
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/faiz-ke-zurich-1.415443#sthash.Tlc86thG.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan