07 Disember 2016 6:06 PM
Mat ucap tahniah kepada Mohd.
Faiz Subri kerana jaringan uniknya berjaya berada dalam kelompok tiga gol
tercantik dunia untuk tahun 2016. Kini pemain Pulau Pinang itu memerlukan
undian kita untuk membantu jaringannya dipilih sebagai yang terbaik daripada
yang terbaik dan menerima Anugerah Puskas.
Mat Sport
Mat melihat peminat bola sepak
seluruh dunia sangat profesional dalam memilih pemenang Anugerah Puskas. Tahun
lalu pemain tidak ternama dari Brazil, Wendell Lira diundi sebagai pemenang.
Tahun ini nampaknya begitu juga.
Pengundi tidak terpengaruh
dengan populariti dan buktinya Lionel Messi tidak dipilih ke dalam senarai tiga
calon akhir. Malah Mat berasakan jaringan Messi itu tidak sepatutnya berada
dalam senarai sepuluh terbaik kerana biasa dilakukan oleh pakar-pakar sepakan
bebas. Lagi pun entah berapa puluh gol Mat telah lihat dijaringkan oleh bintang
Argentina dan Barcelona itu sendiri dengan gaya itu... jadi tiada apa yang
istimewa dalam sepakannya itu.
Mat melihat pesaing terdekat
kepada jaringan Faiz pada Februari lalu itu adalah gol yang dijaringkan oleh
Daniuska Rodriguez. Mat bukan memilih jaringan pemain dari Venezuela itu
kerana dia remaja perempuan tetapi anda semua boleh lihat kualiti gol
berkenaan.
Malah sebelum keputusan undian
pusingan pertama diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, Mat telah
katakan berkali-kali kepada rakan-rakan bahawa jaringan Rodriguez dan Faiz
adalah calon utama untuk memenangi anugerah yang dinasabkan kepada legenda
Hungary dan Real Madrid, Ferenc Puskas itu.
Tetapi Mat berasakan Faiz akan
memenanginya. Bukan kerana Faiz orang Malaysia tetapi kerana jaringannya itu
sememangnya unik, melebihi apa yang dilakukan oleh Roberto Carlos ketika Brazil
menentang Perancis pada 1997.
Ini kerana Mat berpendapat
sudut bola itu berpatah dari kiri ke kanan jauh lebih tajam daripada yang
dirembat oleh bekas pemain pertahanan kiri Real Madrid itu.
Bagaimanapun Mat tidak melihat
kalau pun Faiz menang nanti akan memberi kesan kepada kemajuan bola sepak
tempatan. Satu gol cantik tidak akan memberi impak jika orang-orang
berkepentingan tidak berusaha mengubah bola sepak Malaysia.
Yang Mat nampak ialah kejayaan
Faiz setakat ini telah menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana
cerita-cerita kegagalan skuad bola sepak kita dalam Piala AFF telah tenggelam.
SUMBER- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kejayaan-faiz-selamatkan-fam-1.417062#sthash.fYfxOQrs.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan