Simpan Artikel
MyMetroNode
BERNAMA
Kuala Lumpur:
Penjaga gol, Nasril Nourdin mengakui tergamam ketika sepakan percuma yang
dilakukan finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)
2016, Mohd Faiz Subri menerjah jaringnya.
Jaringan yang
disifatkan 'melanggar hukum fizik' itu dilakukan Mohd Faiz ketika membantu
pasukannya Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium
Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Feb tahun lepas.
Nasril yang
kini bermain untuk Perlis berkata beliau berada di posisi yang tepat dan telah
bersedia untuk menangkap bola itu sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah,
membuatkan beliau terpaku.
"Saya
sudah berada dalam kedudukan yang betul untuk menangkap bola itu tetapi entah
bagaimana dalam sekelip mata bola itu bertukar arah dan menjunam di sebelah
kiri gawang.
"Sepakan
itu memang sesuatu yang menakjubkan kerana sepanjang karier saya belum pernah
saya melalui situasi seperti itu. Saya yakin jaringan tersebut mampu memenangi
Anugerah Puskas itu nanti," katanya kepada Bernama di sini.
FIFA menerusi
laman web rasminya, www.fifa.com pada Disember lalu mengumumkan jaringan
'ajaib' Mohd Faiz tersenarai dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk Anugerah
Puskas 2016.
Setakat 6
petang ini, video jaringan Mohd Faiz yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV
di laman YouTube pada 21 Nov lepas telah ditonton 2,240,141 pelayar seluruh
dunia. Jumlah tontonan tersebut jauh meninggalkan dua pesaing utama anugerah
berkenaan iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1,395,351
tontonan) dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (1,089,102
tontonan).
Peminat bola
sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web
rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak
FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Jan ini berdasarkan undian peminat seluruh
dunia.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:05 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan