Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
MOHD. FAIZ menunjukkan but
baharu, Nemeziz pada majlis penyerahan tajaan Adidas di Petaling Jaya semalam.
PEMAIN sensasi Pulau Pinang,
Mohd. Faiz Subri mengakui dia akan terus menabur bakti kepada pasukannya dalam
misi membantu skuad Harimau Kumbang kekal dalam kancah Liga Super musim 2018.
Sebagai rekod, skuad kendalian
Zainal Abidin Hassan itu kini bergelut di tangga tercorot liga apabila sekadar
mengutip enam mata daripada 13 perlawanan, sekali gus gagal melayakkan diri ke
saingan Piala Malaysia musim ini.
Situasi tersebut tidak
membuatkan Mohd. Faiz mahu berhijrah ke pasukan lain pada jendela pendaftaran
kedua ketika ini, malah membakar semangatnya untuk membantu skuad Harimau Kumbang
mengulangi magis terselamat daripada zon penyingkiran seperti yang dilakukan
musim lepas.
"Saya akui, kami serba
tidak menjadi pada pusingan pertama liga, namun saya percaya dengan kehadiran
jurulatih (Zainal) dan beberapa pemain baharu pada sesi pendaftaran kedua ini
akan membuatkan misi kami untuk kekal dalam Liga Super sebagai tidak mustahil.
"Saya lihat keserasian
antara pasukan juga semakin baik. Mungkin selepas mengharungi beberapa
perlawanan persahabatan yang diatur pada cuti rehat ini, persefahaman antara
pemain akan bertambah selain bersedia untuk mengharungi semula saingan liga
bulan depan," katanya.
Pemenang Anugerah Puskas
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 itu ditemui ketika menghadiri
majlis berbuka puasa anjuran Adidas Malaysia dan Program Pembangunan Bola Sepak
Negara (NFDP) di Petaling Jaya kelmarin.
Mengulas lanjut, Mohd. Faiz
juga tidak mahu terburu-buru untuk berbincang mengenai masa depannya meskipun
kontrak bersama Pulau Pinang akan tamat pada penghujung musim ini.
"Saya masih mempunyai
kontrak bersama Pulau Pinang yang hanya akan tamat pada tahun ini. Sekiranya
Pulau Pinang menawarkan kontrak baharu, saya tidak akan teragak-agak untuk
menandatangani memandangkan saya sudah selesa di sini.
"Cuma, jika ada pasukan
lain yang mahukan khidmat saya, mungkin perbincangan akan dibuat selepas musim
ini tamat kerana fokus utama adalah untuk membantu pasukan terlebih
dahulu," jelas pemain berusia 30 tahun itu
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iyylLC00
Hakcipta terpelihara