BERNAMA
DUA pemain Pulau Pinang, Faiz
Subri dan Jafri Firdaus Chew sedia mempertimbangkan tawaran beraksi dengan
mana-mana pasukan tempatan musim depan.
Bagi Faiz, pemenang anugerah
Puskas FIFA 2016, fokusnya kini adalah membantu skuad Harimau Kumbang mencatat
kemenangan ke atas Selangor pada aksi Liga Super di laman sendiri, Sabtu ini.
“Saya tidak pasti lagi sama ada
akan kekal atau tidak bersama Pulau Pinang kerana kontrak saya tamat bulan
depan namun fokus saya kini adalah membantu pasukan mencatat keputusan positif
berdepan Selangor nanti.
“Dalam masa terdekat, saya
mungkin berjumpa dengan pengurusan berhubung kontrak saya, namun jika ada
rezeki lebih baik di tempat lain, saya akan pertimbangkan,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Jafri
juga sedia mempertimbangkan tawaran pasukan lain sekiranya ia dapat membantu
mengembangkan kariernya.
“Kontrak saya dengan Pulau
Pinang habis hujung tahun ini dan saya tak tahu lagi hala tuju bagi musim
depan.
“Jika ada pasukan berminat
mendapatkan khidmat saya, saya mungkin akan pertimbangkan namun saya akan
mendapatkan pandangan ahli keluarga terlebih dulu terutamanya restu ibu bapa
saya,” jelas Jafri, penyerang skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan.
Pulau Pinang sah tersingkir ke
Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan
dalam Liga Super dengan sekadar 12 mata daripada 21 perlawanan.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 3:11 PM