Jumaat, 21 Februari 2020

Faiz masih belum berkarat

SUKAN»Bola
Selasa, 18 Februari 2020 | 8:50pm
 
Faiz bergelut mendapatkan kembali rentak permainan apabila tidak beraksi selama semusim. - Foto AFP
Faiz masih belum berkarat
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Faiz Subri menganggap jaringan yang dihasilkan ketika membantu pasukan NLFC-Mahsa ke pusingan pertama Piala FA sebagai titik permulaan positif membina kembali kerjayanya.

Kelab berstatus universiti itu menewaskan Kerteh FC 2-0 dalam aksi kelayakan yang berlangsung Ahad lalu menerusi jaringan Khairul Afandi Azaimi dan Faiz.

Faiz mengakui lega berjaya meledak gol pada minit ke-80 perlawanan selepas bergelut mendapatkan kembali rentak permainan apabila tidak beraksi selama semusim.

“Ini memang permulaan positif buat saya selepas menanti setahun untuk beraksi semula dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada.

“Ikutkan hati, memang rindu sangat nak turun padang dan bila dapat menjaringkan gol pada perlawanan pertama, memang saya berasa teruja dan ia akan jadi satu motivasi terbaik untuk saya perbaiki prestasi.

“Tapi, saya tidak boleh terlalu selesa kerana ini baru permulaan dan memang saya berazam untuk terus menjaringkan seberapa banyak gol yang termampu musim ini,” katanya.

Sebelum ini, Faiz yang pernah mewakili beberapa pasukan termasuk Pulau Pinang berehat semusim kerana mahu memberi fokus kepada keluarga.

Selain itu, Faiz mengakui pasukannya perlu membentuk persefahaman yang lebih baik bagi mengharungi aksi seterusnya.

“Bagi pusingan pertama ini (menentang HARINI KS FC), kami tahu peluang 50-50 dan perlu berusaha mara ke pusingan kedua kerana misi pasukan untuk berentap dengan pasukan lebih hebat dari Liga Super atau Liga Perdana,” katanya.[i]


[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/656888/faiz-masih-belum-berkarat