Jumaat, 12 Februari 2021

Orang luar lebih hargai atlet kita



Hungary dikatakan berminat mengambil Mohd. Faiz Subri sebagai jurulatih teknikal teqball. – AFP

Oleh Mohd Nizam Mohamad Yatim

SAUDARA PENGARANG,

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah peribahasa yang sesuai dalam kes Mohd. Faiz Subri apabila memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 mengetepikan bintang bola sepak terkemuka dunia seperti Neymar dan Lionel Messi.

Nama bekas pemain tengah Pulau Pinang menjadi bualan hangat seluruh dunia setelah melakukan jaringan lencong pada 16 Februari 2016 yang dikatakan melawan graviti sehingga mengelirukan penjaga gol Pahang, Nasril Naurdin.

Namun, langit tidak selalunya cerah apabila Mohd. Faiz selepas itu menganggur hampir tiga tahun kerana tiada persatuan sukan yang menginginkan khidmatnya sebagai pemain bola sepak. Dia dikatakan mula menceburi bidang perniagaan minyak wangi bagi menampung hidupnya.

Baru-baru ini saya difahamkan, dia dilamar oleh Hungary untuk menjadi jurulatih teknikal bagi sukan teqball, iaitu sukan baharu yang mengabungkan elemen bola sepak dan meja pingpong melengkung

Bakat Mohd. Faiz seolah-olah hanya dihargai negara luar tetapi dipandang sepi di negara sendiri. Keadaan ini memperlihatkan betapa tempangnya pengurusan bola sepak kita.

Tidak hairanlah Malaysia sentiasa kehilangan atlet berbakat kerana pihak pengurusan sukan di negara ini tidak menggunakan bakat sedia ada sebaik-baiknya.SUMBER-UM ONLINE

YUSLAINI AZMI

Ketua Srikandi PKR Terengganu