Jumaat, 26
Februari 2016 | 3:38pm
Sentuhan Faiz
terlalu awal pikat Kim Swee
Oleh Syed
Riduan Ahmad
smriduan@bh.com.my
PEMAIN Kuantan
FA, Liuba Baranin mengasak pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dalam
perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. - Foto
Rosli Ahmad
KUALA LUMPUR:
Selepas dua minggu Liga Malaysia (Liga M) membuka tirai, ketua jurulatih baharu
skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata hanya ada beberapa muka baharu
yang menarik perhatiannya, termasuk Faiz Subri dari Pulau Pinang.
Kim Swee
mengakui jaringan sepakan percuma Faiz Subri dalam aksi Liga Super menentang
Pahang memang menakjubkan, tetapi ia masih belum mencukupi untuk menjamin
tempat pemain itu dalam skuad kebangsaan.
Kim Swee hanya
mendapat skuad penuh pada 20 Mac ini dan mempunyai tiga hari saja bagi
mempersiapkan pasukan menghadapi Arab Saudi untuk perlawanan terakhir Kelayakan
Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah pada 24 Mac.
Berdasarkan
tempoh singkat itu, keutamaan diberikan kepada pemain yang sudah mempunyai
pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, termasuk pengalaman dimiliki
bekas pemain Harimau Muda kendaliannya.
Ditanya
berkenaan jaringan Faiz yang dianggap antara yang terbaik di dunia Kim Swee
berkata, dia kagum dengan kemahiran sepakan Faiz tetapi kriteria utama yang
menjadi ukuran dalam pemilihan kali ini ialah kemampuan seseorang itu bekerja
dalam satu pasukan.
"Saya
tidak nafikan gol itu luar biasa dan menakjubkan, kehadirannya dalam pasukan
sudah tentu sesuatu yang baik," kata Kim Swee. "Tetapi saya lebih
memerlukan seorang pemain yang boleh menjadi penggerak kepada pasukan.
"Jadi
saya perlu menilai Faiz serta beberapa pemain lain dalam beberapa perlawanan
lagi sebelum dapat mengesahkan sama ada mereka layak untuk disenaraikan atau
tidak.
"Buat
masa ini saya sudah ada senarai awal dan beberapa muka baru menarik perhatian
saya, tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan ini pilihan terbaik saya. Saya
harap baki beberapa perlawanan sebelum rehat perlawanan antarabangsa ini,
pemain-pemain akan terus berusaha menunjukkan prestasi terbaik mereka."
Bagi Kim Swee,
Liga Malaysia kali ini lebih menarik dan meriah dengan setiap pasukan dilihat
cuba memberi saingan terbaik pada setiap perlawanan.
"Liga
kita tahun ini lebih rancak dan intensif, ia petanda yang cukup baik untuk bola
sepak negara. Cuma saya harap apabila pemain yang terpilih dipanggil untuk
latihan skuad kebangsaan, mereka berada pada tahap kecergasan terbaik dan tiada
kecederaan," katanya.
Antara
kerisauan Kim Swee ialah barisan penyerang tempatan yang akan memikul tugas di
Arab Saudi nanti memandangkan hampir semua pasukan meletakkan pemain import
sebagai tonggak utama di barisan depan.
"Antara
penyerang tempatan yang menyerlah sekarang ialah Mat Yo (Norshahrul Idlan
Talaha) dan Hazwan (Bakri), tetapi kedua-duanya lebih banyak membantu dari
bahagian sayap.
"Safee
(Sali) pula jarang beraksi dan Amri (Yahyah) pula tidak diturunkan sepenuh
masa. Jadi saya harap penyerang tempatan lebih gigih bersaing untuk posisi
sebagai penyerang utama.[1]
[1] https://www.bharian.com.my/node/128244