Kenapa hak Faiz dinafi?
MOHD ARIF ATAN FOTO : AFIQ
RAZALI
14 JANUARI 2017
Kenapa hak Faiz dinafi?
JARINGAN anak kelahiran Kedah,
Mohd Faiz Subri yang dianggap melanggar hukum fizik tidak disambut majoriti
masyarakat kita dengan tuntutan supaya menyelamatkan kawasan padang awam dan
padang sekolah.
Tapak lapang untuk generasi
kanak-kanak dan remaja kita mengasah bakat dalam sukan semakin pupus diratah
kapitalis dengan restu angguk birokrat.
Sudahlah begitu, nilai jati
diri negara bangsa pun masyarakat dunia tidak kenal ketika melihat penampilan
dan mendengar ucapan pemenang anugerah berprestij Persatuan Bola Sepak Antarabangsa
(Fifa) itu.
Tendangan bola yang cantik
sehingga diiktiraf dunia lebih bermakna andainya Mohd Faiz tampil berbahasa dan
berpakaian kebangsaan di pentas antarabangsa.
Tidak memakai set persalinan
lengkap baju Melayu tradisional pun boleh sahaja bersut dengan mengenakan
songkok. Bahkan sungguh pun mahu tampil berbaju sut begitu, alangkah lebih
bergaya memberi ucapan sepenuhnya dalam BAHASA MELAYU.
Ikon Running Man warga Korea
itu pun ketika bertandang di Kuala Lumpur baru-baru ini berucap penuh dalam
bahasa kebangsaannya sebelum diakhiri dengan menyebut ‘Terima kasih’.
Kenapa tidak Mohd Faiz seorang
anak berketurunan Melayu warganegara Malaysia? Pencapaian Mohd Faiz sebagai
pemain pertama Asia membawa pulang Anugerah Puskas itu tidak akan tarik balik
jika beliau berbahasa kebangsaan di pentas antarabangsa.
Daripada segi kebudayaan yang
merentas sempadan negara, pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu bukan sahaja
membawa nama Malaysia bahkan Mohd Faiz mewakili ratusan juta penutur bahasa
Melayu dan mereka yang berketurunan Melayu yang tersebar di seluruh dunia.
Jika Faiz berucap dalam bahasa
Melayu, warganegara di negara yang bahasa kebangsaannya adalah bahasa Melayu iaitu
di Indonesia, Singapura dan Brunei akan turut berasa bangga sekali gus
menyuburkan kembali rasa kebersamaan di rantau ini.
Masyarakat Melayu di selatan
Thailand dan Filipina bahkan sehingga ke ceruk paling timur kepulauan Melayu
iaitu Papua di Pulau New Guinea dengan ibu kotanya bernama 'Jayapura' itu pun
tentunya berbangga dengan pencapaian Mohd Faiz.
Lidah Mohd Faiz mustahil jadi
kelu untuk melontarkan kata-kata meskipun suhu di Zurich, Switzerland dikatakan
mencecah -5 Darjah Celsius andai beliau berucap dalam bahasa Melayu.
Lebih bermakna jika Faiz
mungkin menyelitkan serangkap pantun yang umum diketahui dunia merupakan
warisan keintelektualan bangsa Melayu dalam mengoptimumkan penggunaan kata
ketika menyampaikan maksud yang dicita.
Namun, Mohd Faiz dilapor tidak
dibenarkan berucap dalam bahasa kebangsaannya. Siapa yang sebenarnya melarang
Faiz untuk beliau dibenarkan berucap dalam bahasa kelima terbesar di dunia itu?
Jika kita menyaksikan rakaman
majlis itu, jelas pemenang Piala Dunia Fifa tahun 1994 dan 2002, Ronaldo
bercakap dalam bahasa Portugis.
Melihatkan Mohd Faiz di pentas
sebaik namanya diumumkan sebagai penerima anugerah terpaksa mengambil tempoh 25
saat untuk mencari teks dalam bahasa Inggeris di telefonnya, itu sebenarnya
patut memalukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri sebagai pendesak
kepada penganjur untuk membenarkan Mohd Faiz berucap sahaja dalam bahasa
Melayu.
Soal tiada penterjemah untuk
bahasa Melayu kalau Mohd Faiz berucap dalam bahasa Melayu, itu bukan halangan
di pihak kita. Penganjur boleh cari jalan kalau ada tuntutan di pihak kita.
Pengajian Melayu yang berada di
seluruh dunia boleh sahaja dimanfaatkan. Hanya yang mungkin tiada kesungguhan
adalah di pihak elit birokrat sukan kita dan pihak kementerian tentunya.
Wajar sekali FAM serta
Kementerian Belia dan Sukan terlebih dahulu menuntut pengecualian memandangkan
Mohd Faiz sudah bertaraf dunia. Anugerah itu tidak harus dibiar menafikan hak
Mohd Faiz sebagai pemain bertaraf dunia untuk meluahkan isi hatinya dalam
bahasa Melayu.
Setakat menuntut pihak
penganjur membenarkan Mohd Faiz berucap dalam bahasa Melayu itu bukan satu
permintaan yang keterlaluan ketika kita sedia maklum ramai pemain dunia yang
bukan dari latar bangsa Inggeris selamba berucap dalam bahasa masing-masing.
Sayangnya, kelas elit birokrat
sukan di negara ini tidak cukup kuat semangat negara bangsanya untuk melakukan
desakan seperti itu. Mereka sendiri sama seperti pemimpin politik lebih selesa
bercakap Inggeris.
Ada pula orang Melayu sendiri
menganggap Mohd Faiz perlu dimasukkan ke kelas bahasa Inggeris! Ini satu reaksi
melampau dan jelas lahir tanda sedar akibat minda tertawan seperti pernah
dibahaskan ilmuan, Allahyarham Dr Syed Hussein Alatas.
Sepatutnya Mohd Faiz perlu
diberi lebih ruang dan peluang untuk membuka kelas bola sepak khusus mengasah
bakat generasi pelapis. Beliau jadi terkenal dan menerima anugerah bukan kerana
kemahirannya dalam bahasa Inggeris.
Kelebihan Mohd Faiz adalah
kejayaannya menguasai putaran bola itu. Bahkan, kejayaan Mohd Faiz yang dikecapi
itu juga pada masa sama menjadi bukti tanpa bahasa Inggeris, seseorang itu
masih boleh melakar kejayaan yang tiada tolok bandingnya.
Orang Melayu yang berjaya dalam
bidang masing-masing sehingga melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa
harus mempunyai tanggungjawab dan kesedaran diri yang tinggi untuk
memperkenalkan nilai kebudayaan kita sama ada dari segi berpakaian dan juga
berbahasa apa lagi majlis rasmi bertaraf dunia itu.
Dari segi kebudayaan
kebangsaan, baju Melayu sudah diiktiraf sebagai pakaian kebangsaan. Begitu juga
taraf bahasa Melayu yang termaktub di perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan.
Jadi, mengapa dua nilai
kebudayaan kebangsaan ini harus dibiar lenyap ketika kita berada di pentas
antarabangsa ketika nilai kebudayaan bangsa negara lain sudah jauh menjalar
sehingga dalam konteks budaya popular?
Mengapa pihak pengurusan sukan
di negara ini sanggup pejam mata tunduk pada arahan penganjur (jika benar)
membiarkan hak bahasa Melayu dinafikan untuk dipendengar kepada seluruh dunia yang
bukan sahaja terdiri daripada bangsa Inggeris?
Adakah FAM tidak cukup berjiwa
besar untuk memperjuangkan nilai bahasa kita daripada 'dijajah' oleh pihak
pihak penganjur? Jauh lebih penting, adakah soal berkaitan Melayu hanya
digembar-gemburkan hanya demi kepentingan parti politik yang berasaskan kaum
semata-mata?
Taraf bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan yang merentas kaum bahkan sempadan negara. Jika kelas elit
birokrat sukan dan elit politik di negara ini gagal memahami maruah bahasa
Melayu sama pentingnya dengan pencapaian hebat Mohd Faiz itu, sampai bila pun
sukan di Malaysia dan maruah bangsa Melayu tidak ke mana.
Kemenangan Faiz itu peluang
untuk kita bukan sahaja suka-suka berbangga pada dunia tetapi jauh lebih
penting menyuntik kembali semangat pada lebih ramai anak-anak bangsa untuk maju
dalam bidang masing-masing.
Sayangnya, sekali lagi golongan
elit birokrat sukan dan elit politik di negara ini sendiri masih lagi berjiwa
hamba.
* Penulis adalah pengamal media
dan pemerhati sosio-budaya masyarakat Malaysia.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 14
JANUARI 2017