Pencapaian
pemain itu gagal mendapat pengiktirafan Anugerah AFC
ABDUL HAFIZ
AHMAD |
12 Januari 2017 12:15 AM
MOHD. FAIZ
SUBRI beramah mesra dengan peminat sebaik sahaja tiba dari Zurich, Switzerland
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR
11 Jan. - Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sudah pun mengiktiraf gol ajaib Mohd.
Faiz Subri pada 23 Disember lalu, sebelum pemain tengah Pulau Pinang itu
mencipta sejarah memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA), Isnin lepas namun, bagaimana pula dengan Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC)?
Bagaimana
badan induk bola sepak Asia itu boleh terlepas pandang untuk mengiktiraf
pencapaian anak jati Ayer Hitam, Kedah itu dalam Anugerah Tahunan AFC 2016 di
Abu Dhabi yang diadakan 1 Disember lalu?
Setiausaha
Agung AFC, Datuk Windsor John Paul yang berada di Zurich, Switzerland ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini, berkata: “Biarlah dahulu, dia pun
tengah hangat dengan kejayaannya. Mungkin kita boleh bincang (memberikannya
satu anugerah khas AFC).”
Mohd. Faiz,
30, mencatat rekod sebagai pemain pertama Asia memenangi anugerah berprestij
yang diperkenalkan pada 2009 itu bagi mengiktiraf jaringan tercantik yang
dicipta oleh mana-mana pemain lelaki atau wanita tanpa membezakan prestij
kejohanan, jantina atau kewarganegaraan.
Jaringannya
yang dicipta pada 16 Februari tahun lalu setelah menewaskan penjaga gol Pahang,
Nasril Nourdin itu peroleh undian tertinggi 59.46 peratus, sekali gus mengatasi
dua pencabar, Johnath Marlone Azevedo dari Brazil (22.86 peratus) dan pemain
Venezuela, Daniuska Rodriguez (10.01 peratus).
“AFC berbangga
dengan kejayaan Faiz yang bakal menjadi pendorong dan semangat serta meyakinkan
pemain Asia lain. Tahniah Faiz. Saya sudah menjangka dia menang dengan gol yang
dianggap menentang hukum fizik itu, berbanding dua pencabarnya.
“Saya juga
berharap Faiz tidak cepat berpuas hati dengan menang Puskas sahaja. Kita
mahukan dia menjaringkan gol yang lebih cantik daripada itu. Perlu juga diingat
bola sepak ialah permainan berpasukan dan dia hanya seorang daripada 11 pemain
di padang.
“Jangan
selepas ini pula Pulau Pinang hanya berharapkan dia untuk menjaringkan gol.
Walau apa pun tahniah juga kepada pasukan negeri kerana memiliki seorang pemain
yang berjaya di peringkat dunia dengan menjulang trofi Puskas,” kata Windsor.
Beliau juga
menolak untuk membandingkan gol Mohd. Faiz itu dengan jaringan sepakan bebas
legenda Brazil, Roberto Carlos yang dilakukan pemain tersebut pada kejohanan
Tournoi de France 1997.
Sementara
itu, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang turut menghadiri
majlis Anugerah FIFA itu turut mengucapkan tahniah kepada Mohd. Faiz atas
pencapaian tersebut yang membuktikan Asia juga boleh berdiri megah di antara
yang terbaik di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan