ISNIN, 26 DISEMBER 2016 @ 4:09
PM
KUALA LUMPUR: Gol menarik Mohd
Faiz Subri yang dimuat naik di YouTube oleh FIFATV, kini mencecah lebih dua
juta tontonan. Video itu yang dimuat naik pada 21 November lalu terus mencuri
tumpuan peminat bola sepak dunia apabila ditonton 2,161,006 pelayar Internet.
Bercakap kepada Bernama, pemain Pulau
Pinang yang tercalon dalam senarai tiga terakhir untuk Anugerah Puskas FIFA itu
berharap terus mendapat sokongan peminat bola sepak untuk mencipta sejarah
sebagai pemain dari benua Asia pertama merangkul anugerah itu. Dua pemain lain
ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita,
Danisuka Rodriguez dari Venezuela. Gol jaringan Marlone yang dimuat naik oleh
FIFATV itu ditonton sebanyak 1,361,047 pelayar, manakala Danisuka (1,061,741),
setakat tengah hari tadi.
Bagaimanapun, Mohd Faiz, anak jati Ayer
Hitam, Kedah itu berpendapat semua calon akhir untuk anugerah itu masih
mempunyai peluang sama rata untuk meraih anugerah berkenaan. "Sekarang ini
terpulang kepada undian, siapa yang dapat undian tertinggi akan menang anugerah
itu," kata Mohd Faiz.
Peminat bola sepak tempatan masih
berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA,
www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di
Zurich, Switzerland pada 9 Januari ini. Anugerah Puskas dinamakan sempena
penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas, yang menjulang tiga gelaran Eropah
bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.
Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah
yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang
bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic,
Neymar dan James Rodriguez. - BERNAMA
Sumber-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/227314
Tiada ulasan:
Catat Ulasan