Jumaat, 6 Januari 2017

‘Tak fikir nak lelong baju Melayu’

SUFIAN HADI SOJAK  |  06 Januari 2017 12:15 AM
MOHD. Faiz Subri tidak terfikir untuk melelong baju melayu yang
MOHD. Faiz Subri tidak terfikir untuk melelong baju melayu yang mungkin dipakainya di Zurich, 9 Januari ini kerana mahu menyimpan pakaian tersebut sebagai nilai sentimental.
KUALA LUMPUR 5 Jan. – Calon Akhir Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri tidak berhasrat untuk melelongkan pakaian tradisional, baju Melayu yang mungkin akan disarungkannya sewaktu majlis di Zurich, Switzerland itu pada 9 Januari ini.
Pemain Pulau Pinang berusia 30 tahun itu berkata, dia tidak terfikir berbuat demikian kerana lebih selesa untuk menyimpan pakaian tersebut yang akan memahat 1001 kenangan kepada dirinya.
Bagaimanapun menurut Faiz, dia begitu teruja dan seronok apabila mendapat tahu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi ‘lampu hijau’ untuknya memakai set persalinan baju Melayu pada majlis itu nanti.
“Semalam Setiausaha Agung FAM (Persa­tuan Bola Sepak Malaysia), Datuk Hamidin Mohd. Amin ada hubungi saya, bagi tahu FIFA dah luluskan permohonan saya untuk memakai baju Melayu...memang seronok dan teruja sangat.
“Tapi saya tetap membawa dua set persalinan, dengan satu lagi sut seperti yang diminta oleh pihak penganjur iaitu FIFA berhubung kod pemakaian. Tengok keadaan macam mana, kalau cuaca sejuk sangat takkan saya nak pakai baju Melayu?
“Cuma (kalau saya dapat pakai baju Melayu pada majlis tersebut) saya tak terfikir untuk melelongkannya seperti yang pernah dibuat sebelum ini (jersi yang disarung sewaktu meledak gol ajaib). Baik saya simpan kerana ia mempunyai nilai sentimental,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Jersi, seluar, stokin dan but bola penjaring sensasi skuad Harimau Kumbang itu pada Februari tahun lepas dilelong Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) pada harga permulaan sebanyak RM100,000.
Lelongan tersebut bertujuan mengumpul dana yang akan digunakan bagi program pembangunan bola sepak bawah 16 tahun dan pencarian bakat muda bola sepak di negeri itu.
Untuk rekod, kebiasaannya calon atau pemenang anugerah FIFA akan hadir di majlis tersebut dengan mengenakan sut lengkap. Faiz juga bercadang untuk berucap dalam bahasa Melayu seandainya dia diberi peluang berucap di atas pentas.
Faiz akan bers­aing de­ngan dua lagi calon akhir iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela bagi Anugerah Puskas 2016.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-tak-fikir-nak-lelong-baju-melayu-8217-1.428463#sthash.AitOzPdG.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan