FAIZ (kanan) bergambar dengan
peminat yang menetap di Zurich. FOTO Aziman Rosdi
MOHD Faiz Subri selamat tiba di
Zurich. FOTO Aziman Rosdi
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Zurich (Switzerland): Finalis
anugerah Puskas 2016, Mohd Faiz Subri tiba di Zurich, Switzerland, awal pagi
tadi dengan membawa harapan menggunung jutaan rakyat Malaysia yang mahu melihat
sejarah baru bola sepak tanah air dicipta di pentas antarabangsa.
Selepas menempuh hampir 14 jam
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Zurich, pemain Pulau Pinang itu selamat tiba
bersama isteri Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan
Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.
Turut mengiringi Faiz ke Zurich
bagi menghadiri majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 adalah Timbalan Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah.
Walaupun menempuh perjalanan
jauh, Faiz cukup teruja apabila menjejakkan kaki buat kali pertama di bumi
Zurich untuk bersama ramai bintang bola sepak dunia pada majlis anugerah bola
sepak berprestij itu nanti.
"Alhamdulilah saya dan
keluarga sudah selamat di sini, memang debaran amat terasa, dengan cuaca yang
sangat sejuk, memang tak tahan, 'ketaq' (menggigil),” katanya berseloroh ketika
ditemui media dari Malaysia.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang
Zurich, Faiz kemudian dibawa ke hotel penginapan di Kameha Grand Zurich oleh
pegawai FIFA untuk berehat sebelum sesi temuramah dengan FIFA TV dan raptai
pada sebelah pagi.
Majlis anugerah akan berlangsung
pada 6.30 petang hari ini waktu tempatan (1.30 pagi esok waktu Malaysia).
"Memang jadual agak padat
di sini, tapi pada saya ia bukan masalah," katanya.
Faiz, 29, melakar sejarah
tersendiri selepas jaringannya ketika menewaskan Pahang 3-0 dalam aksi Liga
Super, 16 Februari tahun lalu menarik perhatian seluruh dunia apabila berada
dalam senarai akhir tiga gol terbaik 2016 untuk merebut anugerah Puskas.
Sepakan percuma yang dikatakan
melanggar 'hukum fizik' apabila melencong menerjah ke gawang dilihat mempunyai
peluang untuk merangkul anugerah berkenaan meskipun dicabar pemain Brazil
Marlone dan Daniuska Rodriguez (Venezuela).
Pemenang anugerah ini bakal
dikira menerusi undian penonton.
Video gol jaringan Faiz yang
dimuatnaik oleh FIFA di YouTube menyaksikan jumlah tontonan 2,370,006 juta
berbanding Marlone (1,478,372) dan Daniuska (1,160,920) sehingga petang
semalam.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:33 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan