ANUAR MANSOR | 11 Januari 2017 11:46 PM
SEPANG 11 Jan. - Mohd. Faiz Subri bakal dijadikan selaku role model oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai satu usaha untuk menggalakkan generasi muda dan pemain bola sepak di negara ini mencipta nama di peringkat antarabangsa.
AFANDI HAMZAH
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, yang turut mengiringi Mohd Faiz ke Zurich berkata, kejayaan pemain itu juga diharap mampu menjadi pembakar semangat untuk generasi muda dan pemain-pemain lain.
“Kita akan menjadikan dia (Mohd. Faiz) sebagai role model kepada generasi muda. Kejayaan ini merupakan suatu percapaian pertama buat negara. Jadi kita harap selepas ini akan lahir lebih ramai pemain yang mampu melakar nama di peringkat antarabangsa,” katanya.
Penyerang Pulau Pinang itu memahat sejarah baharu dalam arena bola sepak Asia dan Malaysia selepas memenangi Anugerah Puskas 2016 menerusi jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lepas.
Mohd. Faiz meraih anugerah berprestij itu setelah mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.
Dalam perkembangan sama, Afandi juga tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan kategori anugerah jaringan tercantik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang seterusnya sebagai dorongan kepada pemain tempatan untuk mengulangi pencapaian yang dilakar Mohd. Faiz.
“Perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kerana mereka merupakan pentadbir utama Liga Malaysia dan penganjur bersama ABK,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Sumber-- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/terkini/fam-jadikan-mohd-faiz-sebagai-pemain-contoh-1.430550#sthash.OFBsQ4XQ.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan