7 JANUARI 2017
Mohd Faiz Subri Faiz Subri. - Foto Official Website of Penang Football Association
RAKYAT Malaysia khususnya peminat bola sepak tempatan seakan tidak sabar menanti detik bersejarah menyaksikan kelibat finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016, Mohd Faiz Subri berdiri di pentas anugerah bola sepak paling berprestij itu.
Berbaki dua hari sebelum anugerah yang dijadual berlangsung pada 9 Januari ini di Zurich, Switzerland, rata-rata netizen di media sosial tidak putus memberikan sokongan serta mendoakan kejayaan beliau meraih anugerah berkenaan.
Lebih manis lagi, pencalonan beliau itu merupakan detik istimewa dalam lipatan sejarah bola sepak Asia apabila menjadi pemain Asia pertama berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik bagi anugerah berkenaan.
Seorang pengguna aplikasi Twitter, @RichmanHazim berkata, "Tinggal 2 hari sebelum Anugerah Fifa 2016, tak sabar nak melihat gol Faiz Subri diumumkan sebagai juara. Sangat bangga!".
"Faiz Subri adalah kebanggaan Malaysia, marilah kita beramai-ramai mendoakan kejayaan beliau di anugerah Fifa 2016 nanti" demikian kata Siti Norasah Ahmad dalam entri akaun Facebooknya.
Kalangan netizen juga tidak ketinggalan menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengundi jaringan 'ajaib' Mohd Faiz itu bagi membolehkan beliau meraih anugerah tersebut.
Seorang lagi pengguna twitter, @fuad_hahaa berkata, "Selangkah lagi untuk mencipta sejarah, ayuh rakyat Malaysia undilah Faiz Subri untuk Puskas Fifa Award!,"
"There are three finalists and Faiz Subri is one of them. Come on Malaysian, do something for your country!," (Terdapat tiga finalis dan Faiz Subri seorang daripada mereka. Ayuh rakyat Malaysia, lakukan sesuatu untuk negara anda)demikian tweet @dayangsuhana_.
Sementara itu, Mohamad Arif dalam entri akaun Facebooknya berkata "Ayuh... usah biar sejarah berlalu pergi tanpa usaha dan keringat, mari undi untuk Faiz Subri,".
Gol 'ajaib' Mohd Faiz itu bukan sahaja menarik perhatian peminat bola sepak tempatan, malah turut membuka mata peminat bola sepak seluruh dunia, ia dibuktikan apabila video gol pencalonan tersebut di laman YouTube terus mendahului dua pesaing utamanya.
Setakat jam 2.30 petang ini, video tersebut yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV pada 21 November tahun lalu terus mencuri tumpuan apabila ditonton 2,325,881 pelayar seluruh dunia.
Jumlah tersebut meninggalkan dua pencabar utamanya iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1,446,880) dan pemain wanita, Daniusa Rodriguez dari Venezuela (1,137,040).
Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang untuk mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada 9 Januari ini berdasarkan undian yang dibuat seluruh dunia. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 7 JANUARI 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan