05 Januari 2017 12:15 AM
KUALA LUMPUR 4 Jan. – Calon
Akhir Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri boleh bersorak keriangan apabila
permintaannya untuk memakai pakaian tradisional, baju Melayu di Zurich,
Switzerland 9 Januari ini mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persekutuan Bola
Sepak Antarabangsa (FIFA).
Mohd. Faiz Subri
Mohd. Faiz Subri
Perkara tersebut disahkan oleh
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin
selepas pihaknya menghantar permohonan kepada FIFA agar pemain kelahiran Ayer
Hitam, Kedah itu dibenarkan memakai baju Melayu pada majlis berprestij
tersebut.
“Kami sudah menghantar
permohonan itu sejak awal Disember lalu dan akhirnya mendapat kelulusan
daripada FIFA. Saya dah maklumkan kepada Faiz (tentang berita ini).
“Terpulang kepada Faiz sama ada
mahu memakai baju melayu atau sut seperti yang diminta oleh penganjur berhubung
kod pemakaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hujung Disember lalu, Faiz
melahirkan rasa sedikit kecewa setelah pihak penganjur, FIFA tidak
membenarkannya memakai baju Melayu pada majlis tersebut.
Dia bagaimanapun tetap akan
membawa pakaian tersebut ke Zurich dan berusaha mendapatkan pertimbangan
terakhir FIFA ketika di Zurich bagi membolehkannya menyarung baju Melayu.
Kebiasaannya calon atau
pemenang anugerah FIFA akan hadir di majlis tersebut dengan mengenakan sut
lengkap.
Faiz juga bercadang untuk
berucap dalam bahasa Melayu seandainya dia diberi peluang berucap di atas
pentas.
Bercakap dalam bahasa ibunda
dalam majlis berkenaan adalah satu perkara biasa.
Penyerang Argentina, Lionel
Messi bertutur dalam bahasa Sepanyol ketika memberi ucapan selepas diumum
sebagai pemenang Ballon d’Or 2015.
Pemenang Puskas 2015, Wendell
Lira dari Brazil juga bertutur dalam bahasa ibunda ketika berucap.
Faiz akan bersaing dengan dua
lagi calon akhir iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska
Rodriguez dari Venezuela bagi Anugerah Puskas 2016.
Dalam perkembangan sama, Faiz
akan menerima durian runtuh apabila kerajaan Kedah bersedia memberi imbuhan
atas kejayaan pemain berusia 29 itu melakar sejarah bola sepak negara.
“Pihak kerajaan negeri
sepatutnya memberi imbuhan kepada Faiz hari ini dalam majlis yang diadakan di
Sik, Kedah tetapi pada saat akhir Faiz minta penangguhan kerana urusan
peribadi.
“Jadi, imbuhan akan
disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah
selepas beliau pulang dari Zurich yang dijangka diadakan pada 12 Januari ini,”
kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin
Omar.
sumber- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/fifa-benarkan-faiz-8232-pakai-baju-melayu-1.428035#sthash.foX0Ncbn.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan