Gementar kali pertama terbang
jauh bersama keluarga
FADHILUL IZMEL ISHAK | 08
Januari 2017 12:15 AM
FAIZ SUBRI ketika dinobat
sebagai Pemain Terbaik Liga M bulan Februari, 2016.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Siapa
sangka budak kampung yang dahulunya seorang pembancuh air bakal berada di
pentas dunia pada anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di
Zurich, Switzerland, Isnin ini sebagai calon akhir Puskas - anugerah gol
tercantik di dunia.
Disebabkan satu jaringan yang
istimewa, malah ada yang melabelkan ia sebagai gol ‘melanggar hukum fizik’,
Mohd. Faiz Subri bakal berkongsi dewan bersama Cristiano Ronaldo, Lionel Messi
serta Neymar.
Ditanya tentang perasaannya
ketika majlis sudah semakin hampir, Faiz berkata, dia tidak menyangka
kehidupannya akan berubah sekelip mata hanya kerana gol menakjubkan yang dibuat
pada 16 Februari lalu.
“Saya memang bercita-cita
menjadi pemain bola sepak sejak kecil, malah sejak darjah tiga saya aktif
bermain bola tetapi tidak sangka akan pergi sejauh ini.
“Dahulu, saya hanya membantu
keluarga menguruskan kedai makan di Ayer Hitam. Waktu itu, saya belum serius
dalam bola sepak, jadi kepakaran saya hanya membancuh air. Cakap sahaja nak air
apa...Milo Ais, Teh Ais, semua saya boleh buat.
“Namun siapa sangka, daripada
duduk di kedai kini saya akan menghadiri satu majlis berprestij. Ia ibarat
mimpi menjadi kenyataan, mungkin 10 tahun lalu saya tidak terfikir perkara
seperti ini boleh berlaku,” kata Faiz kepada Mingguan Malaysia.
Faiz, 29, yang ditemani isteri,
Nur Zawanis Hashim dan dua anak mereka ke Zurich turut mengakui, dia agak
gementar kerana ini adalah penerbangan paling jauh pernah diharungi bersama
keluarga.
Kata pemain itu lagi, debaran
menghadiri majlis itu sama hebatnya dengan debaran hendak menaiki kapal
terbang, namun sudah pasti dia teruja hendak melalui pengalaman yang mungkin
hadir sekali seumur hidup.
“Perasaan ketika ini
bercampur-baur. Gembira, teruja, gementar. Gementar sebab saya akan mengharungi
perjalanan jauh bersama keluarga, tetapi teruja sebab saya akan merasai
pengalaman hebat yang tidak pernah saya lalui selama ini.
“Saya tahu, anugerah FIFA
setiap tahun disiar secara langsung di televisyen dan ditonton peminat seluruh
dunia, tetapi saya tidak pernah sekali pun menonton majlis tersebut.
“Orang kampung ada beritahu
akan menonton beramai-ramai menerusi televisyen, saya hanya mampu mengucapkan
terima kasih,” katanya lagi.
sumber- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dari-8216-pakar-air-8217-ke-pentas-dunia-1.429152#sthash.XVcHlXjZ.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan