Selasa, 31 Januari 2017

Faiz Subri: Matlamat saya hanya jaringkan gol

ROZAIDI ZULKIFLI  |  31 Januari 2017 12:18 AM
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Pemenang Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri membuktikan jaringannya yang memenangi Anugerah Puskas di Zurich awal tahun ini sememangnya bukan nasib atau gol ajaib apabila dua kali hampir melakukannya dalam dua perlawanan Liga Super berturut-turut.
Pemain Pulau Pinang itu hampir menjaringkan gol menerusi sepakan bebas jarak jauh ketika menentang Selangor dan Perak sekali gus menepis tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan jaringan yang dilakukan ketika menentang Pahang pada 16 Februari lalu dalam kempen Liga Super adalah kerana nasib.
Tidak pernah menganggap kritikan itu sebagai satu perkara negatif, sebaliknya penyerang asal Kedah itu menjadikannya sebagai pembakar semangat kepadanya dalam membina kerja­ya sebagai pemain profesional.

Malah, Faiz berkata, dia sedar pasti peminat-peminat mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya dan keadaan itu membuatkan dia berusaha lebih keras dan berlatih dengan gigih untuk memperbaiki teknik sepakan bebasnya.
“Saya ada terdengar orang kata, tendangan yang buat saya menang Anugerah Puskas adalah nasib tetapi saya tidak kisah sa­ngat. Kalau benda baik kita ambil, kalau benda tidak elok kita cuba perbaiki.
“Sebagai penyerang, saya sentiasa berlatih untuk mengambil sepakan bebas. Kadang kala sepakan yang diambil menepati sasaran, kadang kala tidak.
“Tetapi setiap kali mendapat peluang mengambil sepakan bebas, hasrat saya cuma satu iaitu menghasilkan gol untuk pasukan namun buat masa ini saya masih belum dapat menjaringkan gol,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Faiz, 29, hampir mendapat gol pertamanya musim ini menerusi sepakan bebas pada minit ke-24 ketika tewas 2-0 kepada Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 21 Januari lalu. Sepakan dari jarak kira-kira 30 meter itu tidak melayang tinggi tetapi cukup untuk melepasi benteng Red Giants, sayangnya bola tersasar sedikit di sebelah kiri.
Sepakan bebasnya pada minit-minit terakhir ketika Harimau Kumbang tewas 1-0 kepada Perak di Stadium Bandaraya hampir menyerupai jaringan uniknya tahun lalu apabila bola melayang ke sebelah kiri sebelum melencong ke kanan. Penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim hampir tertewas namun sempat memperbaiki kedudukannya untuk menepis bola yang kemudian mengenai palang dan melantun.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/faiz-subri-matlamat-saya-hanya-jaringkan-gol-1.438492#sthash.yepYuseq.dpuf

Rabu, 25 Januari 2017

Kenapa hak Faiz dinafi?

Kenapa hak Faiz dinafi?
MOHD ARIF ATAN FOTO : AFIQ RAZALI
14 JANUARI 2017
 Kenapa hak Faiz dinafi?
Kenapa hak Faiz dinafi?
JARINGAN anak kelahiran Kedah, Mohd Faiz Subri yang dianggap melanggar hukum fizik tidak disambut majoriti masyarakat kita dengan tuntutan supaya menyelamatkan kawasan padang awam dan padang sekolah.

Tapak lapang untuk generasi kanak-kanak dan remaja kita mengasah bakat dalam sukan semakin pupus diratah kapitalis dengan restu angguk birokrat.

Sudahlah begitu, nilai jati diri negara bangsa pun masyarakat dunia tidak kenal ketika melihat penampilan dan mendengar ucapan pemenang anugerah berprestij Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) itu.

Tendangan bola yang cantik sehingga diiktiraf dunia lebih bermakna andainya Mohd Faiz tampil berbahasa dan berpakaian kebangsaan di pentas antarabangsa.

Tidak memakai set persalinan lengkap baju Melayu tradisional pun boleh sahaja bersut dengan mengenakan songkok. Bahkan sungguh pun mahu tampil berbaju sut begitu, alangkah lebih bergaya memberi ucapan sepenuhnya dalam BAHASA MELAYU.

Ikon Running Man warga Korea itu pun ketika bertandang di Kuala Lumpur baru-baru ini berucap penuh dalam bahasa kebangsaannya sebelum diakhiri dengan menyebut ‘Terima kasih’.

Kenapa tidak Mohd Faiz seorang anak berketurunan Melayu warganegara Malaysia? Pencapaian Mohd Faiz sebagai pemain pertama Asia membawa pulang Anugerah Puskas itu tidak akan tarik balik jika beliau berbahasa kebangsaan di pentas antarabangsa.

Daripada segi kebudayaan yang merentas sempadan negara, pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu bukan sahaja membawa nama Malaysia bahkan Mohd Faiz mewakili ratusan juta penutur bahasa Melayu dan mereka yang berketurunan Melayu yang tersebar di seluruh dunia.

Jika Faiz berucap dalam bahasa Melayu, warganegara di negara yang bahasa kebangsaannya adalah bahasa Melayu iaitu di Indonesia, Singapura dan Brunei akan turut berasa bangga sekali gus menyuburkan kembali rasa kebersamaan di rantau ini.

Masyarakat Melayu di selatan Thailand dan Filipina bahkan sehingga ke ceruk paling timur kepulauan Melayu iaitu Papua di Pulau New Guinea dengan ibu kotanya bernama 'Jayapura' itu pun tentunya berbangga dengan pencapaian Mohd Faiz.

Lidah Mohd Faiz mustahil jadi kelu untuk melontarkan kata-kata meskipun suhu di Zurich, Switzerland dikatakan mencecah -5 Darjah Celsius andai beliau berucap dalam bahasa Melayu.

Lebih bermakna jika Faiz mungkin menyelitkan serangkap pantun yang umum diketahui dunia merupakan warisan keintelektualan bangsa Melayu dalam mengoptimumkan penggunaan kata ketika menyampaikan maksud yang dicita.

Namun, Mohd Faiz dilapor tidak dibenarkan berucap dalam bahasa kebangsaannya. Siapa yang sebenarnya melarang Faiz untuk beliau dibenarkan berucap dalam bahasa kelima terbesar di dunia itu?

Jika kita menyaksikan rakaman majlis itu, jelas pemenang Piala Dunia Fifa tahun 1994 dan 2002, Ronaldo bercakap dalam bahasa Portugis.

Melihatkan Mohd Faiz di pentas sebaik namanya diumumkan sebagai penerima anugerah terpaksa mengambil tempoh 25 saat untuk mencari teks dalam bahasa Inggeris di telefonnya, itu sebenarnya patut memalukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri sebagai pendesak kepada penganjur untuk membenarkan Mohd Faiz berucap sahaja dalam bahasa Melayu. 

Soal tiada penterjemah untuk bahasa Melayu kalau Mohd Faiz berucap dalam bahasa Melayu, itu bukan halangan di pihak kita. Penganjur boleh cari jalan kalau ada tuntutan di pihak kita.

Pengajian Melayu yang berada di seluruh dunia boleh sahaja dimanfaatkan. Hanya yang mungkin tiada kesungguhan adalah di pihak elit birokrat sukan kita dan pihak kementerian tentunya. 

Wajar sekali FAM serta Kementerian Belia dan Sukan terlebih dahulu menuntut pengecualian memandangkan Mohd Faiz sudah bertaraf dunia. Anugerah itu tidak harus dibiar menafikan hak Mohd Faiz sebagai pemain bertaraf dunia untuk meluahkan isi hatinya dalam bahasa Melayu.

Setakat menuntut pihak penganjur membenarkan Mohd Faiz berucap dalam bahasa Melayu itu bukan satu permintaan yang keterlaluan ketika kita sedia maklum ramai pemain dunia yang bukan dari latar bangsa Inggeris selamba berucap dalam bahasa masing-masing.

Sayangnya, kelas elit birokrat sukan di negara ini tidak cukup kuat semangat negara bangsanya untuk melakukan desakan seperti itu. Mereka sendiri sama seperti pemimpin politik lebih selesa bercakap Inggeris.

Ada pula orang Melayu sendiri menganggap Mohd Faiz perlu dimasukkan ke kelas bahasa Inggeris! Ini satu reaksi melampau dan jelas lahir tanda sedar akibat minda tertawan seperti pernah dibahaskan ilmuan, Allahyarham Dr Syed Hussein Alatas.

Sepatutnya Mohd Faiz perlu diberi lebih ruang dan peluang untuk membuka kelas bola sepak khusus mengasah bakat generasi pelapis. Beliau jadi terkenal dan menerima anugerah bukan kerana kemahirannya dalam bahasa Inggeris.

Kelebihan Mohd Faiz adalah kejayaannya menguasai putaran bola itu. Bahkan, kejayaan Mohd Faiz yang dikecapi itu juga pada masa sama menjadi bukti tanpa bahasa Inggeris, seseorang itu masih boleh melakar kejayaan yang tiada tolok bandingnya.

Orang Melayu yang berjaya dalam bidang masing-masing sehingga melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa harus mempunyai tanggungjawab dan kesedaran diri yang tinggi untuk memperkenalkan nilai kebudayaan kita sama ada dari segi berpakaian dan juga berbahasa apa lagi majlis rasmi bertaraf dunia itu.

Dari segi kebudayaan kebangsaan, baju Melayu sudah diiktiraf sebagai pakaian kebangsaan. Begitu juga taraf bahasa Melayu yang termaktub di perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan.

Jadi, mengapa dua nilai kebudayaan kebangsaan ini harus dibiar lenyap ketika kita berada di pentas antarabangsa ketika nilai kebudayaan bangsa negara lain sudah jauh menjalar sehingga dalam konteks budaya popular?

Mengapa pihak pengurusan sukan di negara ini sanggup pejam mata tunduk pada arahan penganjur (jika benar) membiarkan hak bahasa Melayu dinafikan untuk dipendengar kepada seluruh dunia yang bukan sahaja terdiri daripada bangsa Inggeris?

Adakah FAM tidak cukup berjiwa besar untuk memperjuangkan nilai bahasa kita daripada 'dijajah' oleh pihak pihak penganjur? Jauh lebih penting, adakah soal berkaitan Melayu hanya digembar-gemburkan hanya demi kepentingan parti politik yang berasaskan kaum semata-mata?

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang merentas kaum bahkan sempadan negara. Jika kelas elit birokrat sukan dan elit politik di negara ini gagal memahami maruah bahasa Melayu sama pentingnya dengan pencapaian hebat Mohd Faiz itu, sampai bila pun sukan di Malaysia dan maruah bangsa Melayu tidak ke mana.

Kemenangan Faiz itu peluang untuk kita bukan sahaja suka-suka berbangga pada dunia tetapi jauh lebih penting menyuntik kembali semangat pada lebih ramai anak-anak bangsa untuk maju dalam bidang masing-masing.

Sayangnya, sekali lagi golongan elit birokrat sukan dan elit politik di negara ini sendiri masih lagi berjiwa hamba.    

* Penulis adalah pengamal media dan pemerhati sosio-budaya masyarakat Malaysia.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 14 JANUARI 2017

Selasa, 17 Januari 2017

Contohi Faiz jika ingin bawa pulang piala – MB Terengganu

15 Januari 2017 12:06 AM
Ahmad RAZIF ABDUL RAHMAN (duduk, tengah) bersama pasukan Terengganu
Ahmad RAZIF ABDUL RAHMAN (duduk, tengah) bersama pasukan Terengganu
AHMAD RAZIF ABDUL RAHMAN (duduk, tengah) bersama pasukan Terengganu ketika majlis pelancaran jersi serta memperkenalkan pemain di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak semalam.
KUALA TERENGGANU 14 Jan. – Atlet di negeri ini khususnya pemain bola sepak perlu mencontohi kegigihan serta kerja keras Mohd. Faiz Subri sehingga dikagumi di peringkat antarabangsa setelah merangkul anugerah Puskas FIFA 2016 di Switzerland baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, komitmen tinggi pemain kelahiran Kedah itu perlu dijadikan contoh oleh atlet lain untuk meraih kejayaan serta kegemilangan peringkat tertinggi dalam bidang sukan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, atlet terutama pemain bola sepak yang mewakili negeri ini perlu menjalani latihan gigih sebagaimana semangat yang ditunjukkan Mohd. Faiz sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia musim ini.
“Mohd. Faiz begitu gigih dan bersemangat menjalani latihan membuat sepakan sehingga berjaya memenangi anugerah Puskas di Switzerland tempoh hari sekali gus mengangkat martabat bola sepak negara di peringkat dunia.
“Jadi kita harap atlet kita khususnya dalam sukan bola sepak mencontoh semangat pemain itu (Mohd. Faiz) jika kita ingin mencapai kejayaan, seterusnya menjadi juara musim ini,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap dalam ma­jlis pelancaran jersi baharu dan memperkenalkan pasukan bola sepak serta hoki Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Razif juga menyasarkan salah sebuah pasukan sama ada T-Team atau Terengganu FC akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala ke negeri ini, musim ini.
Beliau turut mengesahkan jumlah peruntukan untuk keperluan sukan di negeri ini tahun ini khususnya bola sepak adalah lebih besar berbanding RM30 juta yang diperuntukkan pada tahun lalu.
Dalam majlis itu, sebanyak enam pasukan bola sepak dan sebuah pasukan hoki yang bakal mewakili Terengganu musim ini diperkenalkan kepada tetamu serta para penyokong yang hadir.
Pasukan-pasukan itu ialah Terengganu FC, T-Team, Belia Terengganu FA, Piala Presiden Terengganu FA, Piala Presiden T-Team FC dan skuad Hanelang selain skuad hoki, Terengganu Hockey Team (THT).

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/contohi-faiz-jika-ingin-bawa-pulang-piala-8211-mb-terengganu-1.431580#sthash.KdeftKgb.dpuf

Sabtu, 14 Januari 2017

Tempat Faiz belum terjamin – Westwood

FIRDAUS ISMAIL  |  13 Januari 2017 12:15 AM 
ASHLEY WESTWOOD (kanan) dan Meas Channa (kiri) bersama ketua pasukan masing-masing, Mohd. Rafiuddin Roddin (dua dari kanan) dan Kouch Sokumpheak ketika sidang akhbar perlawanan persahabatan Pulau Pinang lawan Nagaworld di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang semalam. Utusan/AZMAN ASMAYATIM
PULAU PINANG 12 Jan. - Di sebalik sensasi yang di­cipta Mohd. Faiz Subri, ketua jurulatih Harimau Kumbang, Ashley Westwood menegaskan Anugerah Puskas FIFA 2016 yang dimenangi pemain itu bukan jaminan untuk penyerang itu tersenarai dalam kesebelasan utama menje­lang perlawanan sulung Liga Super pada 21 Januari depan.
Bekas pemain Manchester United itu sebaliknya mahu Faiz membuktikan dia sememangnya layak untuk berada dalam senarai utama pasukan menerusi ke­sungguhan dalam sesi latihan dan perlawanan ujian, sama seperti pemain lain.

“Semua pemain dalam pasukan termasuk pemain import baharu perlu membuktikan kemampuan masing-masing sama ada semasa berlatih atau perlawanan persahabatan kerana kita hanya mahu pemain yang cergas dan menonjol untuk beraksi,” katanya.
Justeru, Westwood berkata, perlawanan persahabatan ter­akhir malam esok menentang pasukan dari Kemboja, Nagaworld FC akan menjadi medan terbaik untuk menguji barisan pemainnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum perlawanan menentang bekas juara Liga Kemboja yang dijadual bermula pukul 9 malam di Stadium Bandaraya.
Yang turut hadir, Pengerusi Nagaworld, Yeo Wee Han dan ketua jurulatihnya Meas Channa.
Westwood menegaskan, setakat ini mereka telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan dalam tempoh enam hari namun beliau tidak risau dengan jadual padat berkenaan memandangkan kesemua pemain tidak beraksi 90 minit kerana sistem gantian pemain yang diamalkan.
Sementara itu, Channa berkata pasukan bimbingannya teruja untuk menentang Pulau Pinang pada malam esok lebih-lebih lagi ketika ini pasukan berkenaan sedang dikenali di seluruh dunia berikutan kejayaan Faiz.
“Kami memilih untuk mengadakan latihan pra musim di negara ini memandangkan kualiti bola sepak yang lebih baik berbanding di Kemboja.
“Sebelum ini kami telah menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dan seri 1-1 menentang UiTM. Pada malam esok, saya berharap satu lagi permainan menarik dapat disajikan kepada penyokong,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pada masa hadapan pasukannya akan beraksi dalam saingan Piala FA di negara ini memandangkan sebelum ini ada pasukan lain dari negaranya pernah menyertai pertandingan berkenaan.

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tempat-faiz-belum-terjamin-8211-westwood-1.430905#sthash.BsZU4PhI.dpuf

Khamis, 12 Januari 2017

TMJ tegur pemimpin jangan ambil kesempatan

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
12 JANUARI 2017
 TMJ
TMJ Foto Facebook JOHOR Southern Tigers
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan kepada pemimpin politik supaya tidak mengambil kesempatan ke atas kemenangan Mohd Faiz Subri.

Ujarnya, perkara ini sudah dijangkakannya, terutama mereka yang ingin menaikkan semula nama mereka.

"Saya telah menjangka lebih awal lagi tentang kemenangan Faiz Subri pasti akan mendapat perhatian individu-individu, terutama sekali ahli-ahli politik yang ingin melonjakkan kembali reputasi mereka yang sedang merudum," katanya yang lebih mesra disapa Tunku Ismail menerusi catatan terbaharu di laman  Facebook Johor Southern Tiger.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jaringan langgar 'hukum fizik' menang!]

Mohd Faiz 10 Januari lalu berjaya meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 yang di adakan di Zurich, Switzerland.

Beliau berjaya mengalahkan dua lagi calon iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Februari tahun lepas.

Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang bola sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 12 JANUARI 2017

Faiz terima insentif RM200,000

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
dan NOOR HASLIZA NUSI

FAIZ bersama isternya, Norzawanis dan dua anak mereka, Akif Fayyadh dan Aqil Zayyan diberi sambutan meriah sebaik tiba di KLIA, Sepang semalam.

PEMENANG Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd. Faiz Subri menerima insentif keseluruhan bernilai RM200,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri Pulau Pinang dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Faiz menerima RM100,000 daripada KBS, RM50,000 (kerajaan negeri Pulau Pinang) dan RM50,000 daripada FAM.

Insentif tersebut merupakan penghargaan daripada KBS, kerajaan negeri Pulau Pinang dan FAM atas kejayaan pemain tengah Pulau Pinang itu yang meraih Anugerah Puskas FIFA 2016 pada satu majlis yang berlangsung di Zurich, Switzerland awal pagi Selasa lalu.

Faiz yang meraih 59,46 undi, mene­waskan dua lagi pencabarnya iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (22.86 peratus) dan pemain wanita skuad kebangsaan Venezuela, Daniuska Rodriguez (10.01 peratus).

Undi tersebut dilakukan oleh para peminat sukan bola sepak di seluruh dunia.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, insentif sebanyak RM100,000 daripada KBS itu akan menjadi pencetus semangat buat Faiz agar terus bekerja keras mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa pada masa akan datang.

Jelas Khairy lagi, beliau benar-benar gembira dengan kejayaan pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu yang menjadi wakil pertama dari Asia memenangi trofi berprestij FIFA.

“Saya berharap kejayaan ini akan mendorong para pemain bola sepak negara agar terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi masing-masing, sekali gus mengubah imej pasukan bola sepak negara.

“Ini merupakan kali pertama Malaysia mencipta kejayaan luar biasa pada pe­ringkat dunia. Saya yakin, bukan hanya para penyokong skuad bola sepak Pulau Pinang dan Kedah sahaja yang berasa bangga tetapi seluruh rakyat Malaysia turut berbangga dengan kejayaan ini. Terima kasih Faiz kerana kamu telah mengharumkan nama negara.

“Jarang sekali kita mendapat berita sehebat ini dalam bola sepak. Saya berharap kejayaan Faiz ini akan menjadi petanda kebangkitan sukan bola sepak kita.

“Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada Faiz atas kemenangan yang luar biasa ini. Ini adalah kemenangan pertama Malaysia pada peringkat dunia,” kata Khairy ketika ditemui pada majlis sambutan ketibaan Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor semalam bersama isterinya, Norzawanis Hashim, 29 dan dua orang anak mereka, Akif Fayyad, 4, dan Aqil Zay­yan, 8 bulan semalam.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah turut menemani Faiz ke Zurich.

Afandi dalam kenyataan ringkasnya memaklumkan bahawa insentif seba­nyak RM50,000 daripada FAM itu merupakan pengiktirafan badan induk tersebut terhadap kejayaan Faiz yang membantu menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, Afandi tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan kategori anugerah jaringan tercantik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang sete­rusnya bertindak sebagai pendorong kepada pemain tempatan untuk mengulangi pencapaian yang dilakar Faiz.

Beliau bagaimanapun memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Football Malaysia Limited Lia­bility Partnership (FMLLP) yang merupakan badan pentadbir Liga Malaysia serta penganjur bersama ABK.

Pada majlis ringkas di KLIA semalam, Faiz turut menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong selepas menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat anugerah daripada FIFA.

Beliau turut menerima sijil penghargaan daripada FAM yang disampaikan oleh Afandi.

Terdahulu, suasana di Pentas Utama Balai Pelepasan KLIA bergema dengan sorakan hampir 250 peminat bola sepak tempatan yang menyambut kepulangan pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 itu.

Faiz menerima pengiktirafan terbaik dalam kariernya itu selepas melakukan jaringan paling cantik sepanjang 2016 dan ia hasil daripada sepakan percuma ketika menjaringkan gol ketiga pasukan Pulau Pinang yang menewaskan Pahang 4-1 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 16 Februari tahun lalu.

Faiz dalam ucapan ringkasnya melahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya yang hadir seawal pukul 2 petang semalam.

“Terima kasih kepada penyokong yang hadir serta pengundi saya untuk memenangi anugerah ini,” katanya ringkas sebelum bergegas untuk mengambil penerbangan seterusnya ke Pulau Pinang pada pukul 7 malam tadi.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang disambut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, para penyokong serta ahli keluarga pemain berkenaan.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4VXiBIFIk Hakcipta terpelihara

Awas Faiz!

Januari 2017
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
FAIZ menunjukkan trofi Anugerah Puskas 2016 yang dimenanginya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

PEMENANG Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2015, Wendell Lira dari Brazil mengingatkan pemain tengah Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri agar tidak terbuai dengan kejayaannya dinobatkan sebagai pemenang anugerah tersebut bagi musim 2016.

Menurut Lira, seperti yang dilaporkan oleh agensi DreamteamFc.com, dia telah melalui saat sukar sejak memenangi anugerah tersebut pada tahun 2015 kerana pengurusan pasukan serta penyokong meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepadanya untuk sentiasa memberi sumbangan besar kepada pasukan.

Faiz merupakan pemenang Anugerah Puskas FIFA bagi tahun 2016 pada majlis Anugerah FIFA di Zurich, Switzerland kelmarin.

Menurut Lira, 29, pengalaman yang dilaluinya sangat menyedihkan kerana berdepan tekanan yang sangat tinggi sehingga menjejaskan prestasinya.

Akibatnya, kontrak pemain itu telah ditamatkan oleh kelabnya, Vila Nova yang beraksi pada Liga Brazil.

Dia dipecat oleh kelabnya pada Mei 2016 dan selepas pemecatan tersebut dia membuat keputusan untuk bersara dua bulan kemudian (Julai).

“Sejak memenangi Anugerah Puskas pada tahun 2015, saya telah diberi tekanan dan pasukan sentiasa mahukan saya menghasilkan jaringan menarik. Situasi tersebut telah menyukarkan saya sehingga menjejaskan prestasi.

“Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa anugerah tersebut telah memusnahkan karier saya ekoran jangkaan yang terlalu tinggi daripada kelab dan para peminat,” jelas Lira.

Dia turut mengingatkan Faiz agar berhati-hati dan perlu kuatkan mental jika berdepan perkara yang sama.

Lira sempat menasihatkan Faiz dengan kata-kata ‘so, take note (Faiz) Subri, get yourself into training asap or face the consequences’. (Awas (Faiz) Subri, teruskan latihan segera atau anda akan berdepan kesukaran).

Lira dinobatkan sebagai pemenang anugerah bagi tahun 2015 menerusi jaringannya ketika membantu kelab lamanya, Goianesia menewaskan Atletico-Go 2-1 pada November 2015.

Namun, anugerah tersebut telah memberi tekanan kepadanya kerana pengurusan kelab sentiasa mahukannya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan yang mereka lalui.

Lira yang menyertai Vila Nova pada awal musim 2016 secara terbuka menyalahkan Anugerah Puskas sebagai ‘pembunuh’ kariernya.

Anugerah Puskas FIFA telah diperkenalkan pada 2009 bagi mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol paling cantik di dunia pada sesuatu tahun. – DreamteamFC.com.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4VXdKQvoL Hakcipta terpelihara

FAM jadikan Mohd. Faiz sebagai pemain contoh

ANUAR MANSOR   11 Januari 2017 11:46 PM
SEPANG 11 Jan. - Mohd. Faiz Subri bakal dijadikan selaku role model oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai satu usaha untuk menggalakkan generasi muda dan pemain bola sepak di negara ini mencipta nama di peringkat antarabangsa.
AFANDI HAMZAH
AFANDI HAMZAH
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, yang turut mengiringi Mohd Faiz ke Zurich berkata, kejayaan pemain itu juga diharap mampu menjadi pembakar semangat untuk generasi muda dan pemain-pemain lain.
 “Kita akan menjadikan dia (Mohd. Faiz) sebagai role model kepada generasi muda. Kejayaan ini merupakan suatu percapaian pertama buat negara. Jadi kita harap selepas ini akan lahir lebih ramai pemain yang mampu melakar nama di peringkat antarabangsa,” katanya.
 Penyerang Pulau Pinang itu memahat sejarah baharu dalam arena bola sepak Asia dan Malaysia selepas memenangi Anugerah Puskas 2016 menerusi jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lepas.
 Mohd. Faiz meraih anugerah berprestij itu setelah mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.
 Dalam perkembangan sama, Afandi juga tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan kategori anugerah jaringan tercantik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang seterusnya sebagai dorongan kepada pemain tempatan untuk mengulangi pencapaian yang dilakar Mohd. Faiz.
 “Perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kerana mereka merupakan pentadbir utama Liga Malaysia dan penganjur bersama ABK,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Sumber-- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/terkini/fam-jadikan-mohd-faiz-sebagai-pemain-contoh-1.430550#sthash.OFBsQ4XQ.dpuf

[VIDEO] Faiz terima durian runtuh

[VIDEO] Faiz terima durian runtuh
KBS, FAM sumbang insentif sebanyak RM150,000
ZAZALI JAMIAN & MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  12 Januari 2017 12:15

SEBAHAGIAN penyokong yang setia menanti ketibaan Mohd. Faiz Subri kelihatan ceria di balai ketibaan LTAPP, Bayan Lepas, semalam.

SEPANG 11 Jan. - Insentif berjumlah RM150,000 diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi satu perkhabaran gembira buat pemenang anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd. Faiz Subri sewaktu tiba di tanah air dari Zurich, Switzerland, hari ini.
Daripada jumlah tersebut RM100,000 diberikan oleh KBS, manakala baki RM50,000 sumbangan daripada FAM.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, insentif yang diberikan KBS itu merupakan satu pembakar semangat kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah tersebut untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
“Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada Mohd. Faiz, atas kemenangan yang luar biasa ini.

Video oleh AZMAN ASMAYATIM
“Ia adalah kemenangan pertama Malaysia di peringkat dunia,” katanya dalam ucapan penghargaan sebaik sahaja menyambut ketibaan Mohd. Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama isterinya, Norzawanis Hashim, 30 dan dua orang anaknya, Akif Fayyad, 4, serta Aqil Zayyan, 8 bulan.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang turut mengiringi Mohd Faiz ke Zurich, memaklumkan insentif sebanyak RM50,000 yang diberikan pihaknya adalah satu pengiktirafan badan induk itu terhadap Mohd. Faiz kerana membantu menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Selain menerima durian runtuh tersebut, Mohd. Faiz,30, turut menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong berikutan menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat anugerah daripada FIFA.
Mohd. Faiz menerima pengiktirafan terbaik dalam kerjayanya itu selepas membuat jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lepas.
Malah, dia juga berjaya memahat sejarah sebagai pemain Asia pertama meraih anugerah berprestij itu setelah mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.
Sementara itu, di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas bergema sorakan sebaik sahaja Mohd. Faiz tiba pukul 9 malam ini. Kepulangannya disambut 500 penyokong Harimau Kumbang yang menunggu sejak petang tadi.
Turut menyambut ketibaan Mohd. Faiz, ibu bapanya, Subri Kader dan Sa’diah Ishak serta lebih 20 ahli keluarga dari Air Hitam dan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/video-faiz-terima-durian-runtuh-1.430537#sthash.hj8a12Vc.dpuf

AFC terlepas pandang gol ajaib Faiz?

Pencapaian pemain itu gagal mendapat pengiktirafan Anugerah AFC
ABDUL HAFIZ AHMAD  |  12 Januari 2017 12:15 AM
MOHD. FAIZ SUBRI beramah mesra dengan peminat sebaik sahaja tiba
MOHD. FAIZ SUBRI beramah mesra dengan peminat sebaik sahaja tiba dari Zurich, Switzerland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Anugerah Bola Sepak Ke­bangsaan sudah pun mengiktiraf gol ajaib Mohd. Faiz Subri pada 23 Disember lalu, sebelum pemain tengah Pulau Pinang itu mencipta sejarah memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Isnin lepas namun, bagaimana pula dengan Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC)?
Bagaimana badan induk bola sepak Asia itu boleh terlepas pandang untuk mengiktiraf pencapaian anak jati Ayer Hitam, Kedah itu dalam Anugerah Tahunan AFC 2016 di Abu Dhabi yang diadakan 1 Disember lalu?

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul yang berada di Zurich, Switzerland ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini, berkata: “Biarlah dahulu, dia pun tengah hangat dengan kejayaannya. Mungkin kita boleh bincang (memberikannya satu anugerah khas AFC).”
Mohd. Faiz, 30, mencatat rekod sebagai pemain pertama Asia memenangi anugerah berprestij yang diperkenalkan pada 2009 itu bagi mengiktiraf jaringan tercantik yang dicipta oleh mana-mana pemain lelaki atau wanita tanpa membezakan prestij kejohanan, jantina atau kewarganegaraan.
Jaringannya yang dicipta pada 16 Februari tahun lalu setelah menewaskan penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin itu peroleh undian tertinggi 59.46 peratus, sekali gus mengatasi dua pencabar, Johnath Marlone Azevedo dari Brazil (22.86 peratus) dan pemain Venezuela, Daniuska Rodriguez (10.01 peratus).
“AFC berbangga dengan kejayaan Faiz yang bakal menjadi pendorong dan semangat serta meyakinkan pemain Asia lain. Tahniah Faiz. Saya sudah menjangka dia menang dengan gol yang dianggap menentang hukum fizik itu, berbanding dua pencabarnya.
“Saya juga berharap Faiz tidak cepat berpuas hati dengan menang Puskas sahaja. Kita mahukan dia menjaringkan gol yang lebih cantik daripada itu. Perlu juga diingat bola sepak ialah permainan berpasukan dan dia hanya seorang daripada 11 pemain di padang.
“Jangan selepas ini pula Pulau Pinang hanya berharapkan dia untuk menjaringkan gol. Walau apa pun tahniah juga kepada pasukan negeri kerana memiliki seorang pemain yang berjaya di peringkat dunia dengan menjulang trofi Puskas,” kata Windsor.
Beliau juga menolak untuk membandingkan gol Mohd. Faiz itu dengan jaringan sepakan bebas legenda Brazil, Roberto Carlos yang dilakukan pemain tersebut pada kejohanan Tournoi de France 1997.
Sementara itu, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang turut menghadiri majlis Anugerah FIFA itu turut mengucapkan tahniah kepada Mohd. Faiz atas pencapaian tersebut yang membuktikan Asia juga boleh berdiri megah di antara yang terbaik di dunia.

Rabu, 11 Januari 2017

Jaringan Faiz mengejutkan saya [METROTV]

 Aziman Rosdi di Zurich (Switzerland)
aziman@hmetro.com.my

Pemain bola sepak lagenda Perancis Marcel Desailly mengakui kehebatan jaringan yang dilakukan Mohd Faiz Subri sehingga diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016.

Bekas pemain skuad juara Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 itu berkata, ia sesuatu yang mengejutkan apabila bola sepakan percuma Faiz boleh bertukar arah sebelum menerjah ke gawang gol.


"Saya ada melihat video gol itu, secara tiba-tiba bola sepakan percuma itu bertukar arah. Saya tidak tahu sama ada dia sengaja melakukan sepakan seperti itu atau tidak tapi apa yang pasti ia gol yang cukup menarik," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Jaringan menerusi sepakan percuma Faiz terus hangat diperkatakan selepas dia melakar sejarah pemain Asia pertama merangkul Anugerah Puskas 2016 pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 Selasa lalu dengan menerima undian sebanyak 59.46 menewaskan pencabar dari Brazil Marlone (22.86) dan Daniuska Rodriguez dari Venezuela (10.01).

Desailly,48, yang hadir pada majlis anugerah itu berkata dia teruja apabila ada pemain bukan dari Eropah memiliki kemahiran cukup tinggi.

"Ia sesuatu yang menarik untuk melihat pemain bukan dari Eropah memiliki kemahiran tinggi. Bukan mudah untuk melihat detik yang istimewa seperti ini dalam bola sepak," katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 10:57 PM
 
Desailly akui jaringan Faiz jadikan bola sepak lebih menarik. FOTO AZIMAN ROSDI